Pulau Pinang tetap perjuang pilihan raya kerajaan tempatan

Kon Yeow
Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang akan terus memperjuangkan untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan selepas berusaha untuk merealisasikannya sejak 10 tahun lalu.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri telah melakukan perkara yang boleh dilakukan dan kini menyerahkan kepada menteri untuk meneruskan usaha tersebut.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan dan berharap perjuangannya itu akan membawa hasil satu hari nanti.

"Kerajaan negeri sudah buat apa yang boleh dibuat melainkan meminda Akta Kerajaan Tempatan 1976 kerana ia dibawah kerajaan Pusat. Setelah apa yang dinyatakan Perdana Menteri mengenai isu ini, menteri di Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) masih menyuarakan hasrat untuk meneruskan pilihan raya ini.

"Oleh itu, kerajaan negeri menyerahkan perjuangan ini kepada menteri kerana ia di luar bidang kuasa kita. Lagi pun, kita sudah buat apa yang kita mampu buat. Kerajaan negeri telah meluluskan satu usul di Sidang Dun dan memperundangkan satu enakmen pilihan raya kerajaan tempatan.

"Malah usaha itu telah dibawa ke Mahkamah Persekutuan untuk diputuskan namun mahkamah telah menidakkan permohonan kita. Dengan itu, kita sudah berada di penghujung perundangan negara namun masih gagal. Itu sahaja yang kerajaan negeri mampu lakukan," katanya kepada media tadi.

Sebelum ini, Kerajaan Pulau Pinang di bawah pimpinan DAP antara negeri yang mendesak untuk diadakan pilihan raya kerajaan tempatan sejak 2008.

Kon Yeow yang juga Naib Pengerusi DAP berkata, walaupun usaha untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan itu satu perjuangan politik, namun ia perlu berlandaskan peruntukan undang-undang.

Artikel Berkaitan:

"Memang perkara ini tiada dalam mainfesto PH namun saya berharap perjuangan ini akan membawa hasil satu hari nanti. Kerajaan negeri telah berjuang sejak 10 tahun lalu dengan melancarkan kempen pilihan raya atau membolehkan undi ketiga.

"Tetapi seperti saya katakan tadi, kita sudah usaha namun nampaknya belum sampai lagi untuk kita mencapai hasrat tersebut. Walau apa pun perjuangan politik, kita perlu berlandaskan undang-undang," katanya.

Tiga hari lalu, Menteri KPKT, Zuraida Kamarudin menegaskan akan meneruskan kajian mengenai pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan.

Zuraida berkata, kajian yang dilaksanakan kementerian itu akan mengambil contoh pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan di negara-negara lain dengan mengikut acuan tempatan sekali gus mengambil kira sentimen dan sensitiviti rakyat.

Sebelum itu, ketika melancarkan Konvensyen Pemerkasaan Pihak Berkuasa Tempatan di Putrajaya, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, pilihan raya kerajaan tempatan tidak mungkin berlaku dan ia boleh mewujudkan konflik perkauman dan perpecahan di bandar dan luar bandar.