Pegawai bank dijel 10 tahun perdagang isteri untuk seks

Pegawai bank dihukum penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen Seremban pada Rabu atas pertuduhan memperdagangkan isterinya bagi tujuan eksploitasi seks.
Pegawai bank dihukum penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen Seremban pada Rabu atas pertuduhan memperdagangkan isterinya bagi tujuan eksploitasi seks.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang pegawai bank dihukum penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen Seremban pada Rabu atas pertuduhan memperdagangkan isterinya bagi tujuan eksploitasi seks, Oktober lalu.

Hakim Datin Surita Budin membuat keputusan itu selepas tertuduh lelaki berusia 35 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah memperdagangkan isterinya berusia 35 tahun bagi maksud eksploitasi seks.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah hotel di Kuala Pilah pada 30 Oktober lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon hukuman ringan atas alasan telah insaf dan sedang menjalani hukuman penjara tujuh tahun dan tiga sebatan atas kesalahan di bawah Seksyen 372A(1) Kanun Keseksaan iaitu hidup atas wang hasil daripada persundalan isterinya.

"Saya memohon hukuman penjara berjalan serentak dan hukuman yang sama iaitu tujuh tahun penjara, kalau mahkamah putuskan (hukuman penjara) lebih daripada itu saya mohon digantikan dengan sebatan.

"Saya juga mohon isteri dapat dikeluarkan daripada pusat perlindungan supaya keluarga dapat aturkan dia pulang ke Sabah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu tertuduh turut memohon mahkamah menyerahkan semula tiga barang rampasan iaitu kunci rumah, kunci kereta dan telefon bimbit.

Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainul Hashimi memberitahu kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius dan tidak bermoral selain perlu mengambil kira mangsa adalah isterinya sendiri selain melanggar hak-hak asasi manusia.

Berdasarkan fakta kes, pihak polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah telah menangkap tertuduh yang disyaki menjadi ejen serta 'transporter' dalam menguruskan aktiviti pemerdagangan manusia dengan tujuan mengeksploitasi seks ke atas mangsa.

Hasil siasatan yang dijalankan mendapati tertuduh merupakan suami yang sah kepada mangsa telah memperdagangkan mangsa bagi tujuan eksploitasi seks sejak Julai 2022 bagi tujuan menyelesaikan hutang yang ditanggung.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan tertuduh dihukum penjara tujuh tahun dan tiga kali sebatan atas pertuduhan hidup dengan wang hasil daripada persundalan isterinya pada Oktober lalu.