GTA kalah PRU15 kerana kelemahan kepimpinan

Mahdzir Ibrahim
Mahdzir Ibrahim
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kekalahan Gerakan Tanah Air (GTA) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bukan disebabkan gabungan tersebut membawa naratif pro Melayu atau mesej perkauman semasa berkempen.

Sebaliknya, Timbalan Ketua Penerangan GTA, Mahdzir Ibrahim mendakwa, kekalahan itu berpunca daripada kelemahan kepimpinan gabungan berkenaan terutama membabitkan jentera parti yang tidak tersusun dan tidak berkesan.

"Kelemahan kepimpinan politik di peringkat parti dalam GTA adalah kerana gagal mengambil iktibar daripada kekalahan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac 2022.

"Dari Mac hingga tertubuhnya GTA pada Ogos tahun ini, ia tidak digerakkan dengan membina kekuatan organisasi, jentera dan penerangan yang jitu, kerana itu kita mendengar ramai calon GTA tidak bersedia memasuki PRU15 ini," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mahdzir menegaskan, sama ada GTA akan tenggelam selepas ini atau mahu kekal relevan bergantung kepada sejauh mana kepimpinan politik dapat berubah dan bertindak mengikut keperluan semasa.

Jelasnya, rakyat tidak akan dapat menyelamatkan GTA sekiranya kepimpinan tidak mahu belajar daripada kesilapan.

Sebelum ini, beberapa penganalisis politik dilaporkan berkata, GTA perlu dibubarkan selepas penampilan buruknya pada PRU15 dan mendakwa mesej pro Melayu dibawa gabungan itu semasa berkempen tidak sampai kepada kumpulan sasaran iaitu pengundi Melayu.

Mahdzir yang juga Penyelaras Parlimen Parit Sulong mengakui kenyataan kumpulan penganalisis berkenaan ada sebahagiannya yang benar.

Artikel Berkaitan:

"Kegagalan kempen GTA meyakinkan pengundi khususnya Melayu sememangnya tidak dinafikan.

"Namun dakwaan mengatakan bahawa kegagalan kempen GTA kerana membawa naratif pro Melayu atau mesej perkauman, itu tidak benar malah silap. Ini kerana naratif perkauman yang digambarkan penganalisis ini bersandarkan pada persepsi dalam kalangan kumpulan Melayu liberal.

"Persepsi yang dicipta kumpulan Melayu liberal ini adalah simplistik, bukan ilmiah. Bagi kumpulan Melayu liberal ini akan mudah melabelkan apa sahaja istilah berkaitan Melayu yang dibawa oleh GTA sebagai perkauman. Sedangkan, prinsip asas yang diperjuangkan GTA ialah persoalan integriti iaitu Melayu berwibawa iaitu bersih melawan Melayu korup," katanya.

Jelasnya, intipati naratif itu adalah mengenai perlawanan antara memilih pemimpin Melayu berintegriti dan berwibawa dengan pemimpin Melayu yang rasuah dan pecah amanah.

"Inilah mesej sebenar yang gagal dibaca atau sengaja diabaikan oleh penganalisis tersebut. Kumpulan penganalisis ini juga gagal membaca dengan teliti kekalahan GTA ini berkait langsung dengan budaya kempen politik wang.

"Bantuan rakyat dikeluarkan blok-blok politik kepada pengundi dan jentera, dengan pembelian billboard, media sosial yang begitu besar semasa berkempen ini telah mendominasi persepsi rakyat," dakwanya.