Ketua Polis Johor seru pegawai, anggota hayati PAPDRM

Kamarul Zaman menyampaikan sijil penghargaan kepada anggota pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Johor di Dataran Kawad IPK Johor, pada Rabu.
Kamarul Zaman menyampaikan sijil penghargaan kepada anggota pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Johor di Dataran Kawad IPK Johor, pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seluruh warga PDRM Johor perlu memahami dan menghayati Pelan Anti Rasuah PDRM (PAPDRM) 2020-2024 bagi menjayakan agenda utama pelan berkenaan.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, agenda utama PAPDRM adalah bertujuan bagi memantapkan integriti, governans dan antirasuah dalam kalangan warga PDRM.

Justeru, katanya, setiap warga PDRM perlu mempunyai jati diri yang kuat dan nilai integriti yang tinggi dalam mengekalkan tahap disiplin agar tidak terlibat dalam penyalahgunaan kuasa termasuk rasuah.

"Semua ketua jabatan, ketua polis daerah, ketua bahagian dan ketua polis balai perlu memastikan pegawai dan anggota bawahan memahami dan menghayati pelan ini.

"Selain itu, mereka juga perlu memberikan sokongan padu terhadap pelaksanaannya dan memahami berkaitan pelan ini," katanya ketika berucap sempena Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Johor Bagi Bulan November 2022 di Dataran Kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, pada Rabu.

Pada perhimpunan berkenaan, Kamarul Zaman turut menyempurnakan penyampaian surat penghargaan kepada pegawai, anggota polis, kakitangan awam termasuk orang awam.

Sempena perhimpunan berkenaan juga, Kamarul Zaman turut menzahirkan ucapan tahniah atas kejayaan yang terhasil daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Cawangan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) dan Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) mulai Januari hingga Oktober 2022.

Sementara itu, Kamarul Zaman mengingatkan kepada seluruh warga PDRM Johor agar sentiasa mengikuti arahan pucuk pimpinan PDRM dari semasa ke semasa.

Artikel Berkaitan:

"Fokus utama dalam memantapkan sifat integriti ini tidak boleh dipandang enteng. Ia sentiasa bermain dalam kehidupan kita seharian dan setiap orang memerlukan jati diri yang kukuh kerana jika lemah (jati diri), ia menjadi punca keruntuhan tahap disiplin serta penyalahgunaan kuasa," katanya.