RM2.6 juta kerugian akibat gangguan hidupan liar

Dr Azman
Dr Azman
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Ancaman haiwan perosak tanaman seperti gajah, beruang, kera, babi hutan dan tapir menyebabkan mangsa seperti petani menanggung kerugian lebih RM2.6 juta dalam tempoh tiga tahun bermula 2020.

Exco Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, 130 aduan gangguan haiwan itu turut diterima Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bermula Januari hingga September tahun ini.

Menurutnya, bagi mengurangkan gangguan hidupan liar tersebut, kerajaan negeri mengambil langkah melaksanakan operasi pembasmian musuh tanaman melibatkan kerjasama antara Jabatan Pertanian, Perhilitan dan pemilik lesen senjata api setempat.

Langkah kedua adalah memasang perangkap kera dan babi seterusnya dipindah alam, beruang dan tapir yang ditangkap akan dipindahkan ke habitat asal jauh dari kawasan konflik.

“Bagi ancaman gajah pula, terdapat tiga kaedah digunakan iaitu pemasangan pagar elektrik, tembak halau dan tangkap pindah,” katanya menjawab soalan Ab Razak Ibrahim (Pas-Air Putih) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Selasa.

Dr Azman berkata, tiga lokasi yang sering terlibat dengan ancaman gajah telah dipasang Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) iaitu Kampung Lawit ke Belukar Bukit sepanjang 29.5 kilometer (KM), Kampung Pelong Setiu (35km) dan Kampung Payong ke Chalok Barat (25km).

Katanya, terdapat empat lokasi baharu akan dibangunkan SPEG dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) melibatkan Kampung Ban Hoo dan Kampung Air Putih di Kemaman serta Kampung Gerdong dan Kampung lubuk Periuk di Hulu Terengganu.

“Selain itu, sebanyak 21 gajah telah ditangkap dan dipindahkan dalam tempoh empat tahun bermula 2019 iaitu 2019 (empat), 2020 (enam), 2021 (lapan) dan 2022 (tiga) dengan setiap operasi tangkap pindah menelan kos puluhan ribu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ujar Dr Azman, kera dan babi merupakan hidupan liar yang tersenarai sebagai spesis dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

“Namun begitu Akta 716 membenarkan pemilik kebun atau pekerjanya yang mempunyai lesen senjata api mengambil tindakan menembak sekiranya hidupan tersebut mengancam nyawa dan harta benda.

“Selepas tembak, mereka perlu melaporkan kepada Perhilitan,” katanya.