Pelaburan RM13 juta lebur

Sebahagian mangsa tampil mendakwa mereka ditipu sebuah syarikat jualan kopi di Melaka.
Sebahagian mangsa tampil mendakwa mereka ditipu sebuah syarikat jualan kopi di Melaka.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Lebih 10 individu di negeri ini tampil mendakwa menjadi mangsa penipuan sebuah syarikat jualan kopi terkenal setelah sejumlah wang yang dilaburkan lesap tanpa mendapat sebarang pulangan.

Kebanyakan mangsa terdiri daripada kakitangan awam, pesara dan peniaga yang mendakwa mengalami kerugian RM10,000 hingga RM250,000.

Antara yang menjadi mangsa seorang pesara wanita, Salamah Shamsudin, 57, apabila mendakwa wang yang dilaburkan berjumlah RM50,000 sejak 2015 lalu lenyap begitu sahaja.

Menurutnya, selain kini menanggung hutang pinjaman bank, dia juga terpaksa mengetepikan sementara niatnya untuk menunaikan ibadah haji apabila keseluruhan wang simpanannya di Tabung Haji dikorbankan untuk tujuan pelaburan itu.

"Niat saya mahu menghasilkan pendapatan setelah pencen lalu menyertai skim perniagaan tersebut dengan modal RM40,000 termasuk melalui pinjaman bank dan kemudian saya tambah lagi RM10,000 daripada Tabung Haji.

"Bagaimanapun, sehingga kini segala yang diharapkan punah malah terpaksa menanggung bebanan hutan bank," katanya ketika ditemui bersama individu lain yang turut menjadi mangsa di Kampung Hulu, di sini, hari ini.

Salamah berkata, dia bersama rakan yang lain merayu supaya individu bertanggungjawab iaitu pengasas produk berkenaan yang bergelar datuk seri yang didakwa berada di negara jiran itu tampil bagi memulangkan duit yang dilaburkan mereka berjumlah lebih RM13 juta hanya untuk peserta skim pelaburan dari Melaka.

Artikel Berkaitan:

Sebahagian mangsa menunjukkan laporan polis yang dibuat selepas mendakwa menjadi mangsa penipuan sebuah syarikat jualan kopi terkenal.
Sebahagian mangsa menunjukkan laporan polis yang dibuat selepas mendakwa menjadi mangsa penipuan sebuah syarikat jualan kopi terkenal.

"Kami sudah beberapa kali cuba menghubunginya bagi berbincang mengenai masalah ini namun langsung tidak mendapat kerjasama dan difahamkan dia kini melarikan diri ke negara jiran.

"Apa yang kami mahu adalah duit pelaburan, pulangkan hak kami dan jangan aniaya seperti ini. Disebabkan ini ada antara ahli yang bercerai-berai dan meninggal dunia kerana tertekan dengan bebanan hutang," katanya.

Seorang lagi mangsa, Bajili Bakri, 34, berkata, syarikat terbabit yang diasaskan di negeri utara tanah air sudah beroperasi sejak 2013.

"Setiap ahli hanya perlu mengeluarkan modal membuat pembelian produk berdasarkan pakej yang ingin disertai dan mereka dijanjikan menerima produk sama ada kopi atau barangan lain mengikut pilihan ahli berserta hibah tunai secara tetap setiap bulan selama 12 bulan mengikut pakej yang ditetapkan.

“Sebagai contoh jika ahli mengambil pakej RM10,000, mereka akan mendapat pulangan kira-kira RM600 setiap bulan selama setahun dan diberikan produk antaranya kopi. Saya sampai rugi kira-kira RM40,000,” katanya

Manakala seorang kakitangan awam yang dikenali sebagai Shah, 32, mendakwa, ramai ahli menyertai skim itu bermula pada Oktober 2015 dan membuka beberapa akaun tambahan secara berperingkat kerana terpengaruh dengan helah syarikat itu yang turut menaja beberapa rancangan di stesen televisyen swasta.

“Memang mula-mula ada bayaran diterima ahli dan kebanyakan ahli terpengaruh apabila syarikat terbabit mengumumkan pembayaran hibah lebih lumayan maka membuatkan ramai tergoda.

"Tapi selepas itu, semua pembayaran hibah tunai yang patut diterima ahli seperti yang dijanjikan tidak dibuat syarikat berkenaan sehingga ke hari ini," katanya.

Difahamkan juga, sehingga kini lebih 2,000 ahli sudah membuat pelaburan di seluruh negara membabitkan kerugian lebih RM100,000 juta.

Sementara itu, di Jasin, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Arshad Abu mengesahkan pihaknya menerima empat laporan polis berhubung dakwaan kes penipuan berkenaan dan siasatan dijalankan di bawah Sesyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.