Isteri reda ganti tanggungjawab ketua keluarga

Marina dan Rosli di hadapan bangsal mereka sebelum berpindah ke rumah baharu (kanan) lapan bulan lalu.
Marina dan Rosli di hadapan bangsal mereka sebelum berpindah ke rumah baharu (kanan) lapan bulan lalu.
A
A
A

KUALA KRAI - Penyakit kanser tulang yang dihidapi suami menyebabkan seorang wanita terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga sejak empat bulan lalu.

Marina Roswati Hamad, 42, mengambil keputusan bekerja di ladang kelapa sawit selepas suaminya, Rosli Che Min, 49, tidak dapat melakukan kerja-kerja berat.

Marina juga reda apabila rutin hariannya keluar seawal jam 6.30 pagi untuk ke ladang kelapa sawit di Tok Uban kira-kira 15 kilometer dengan menumpang saudara terdekat.

"Suami menghidap barah tulang lebih 30 tahun lalu dan keadaannya semakin merosot apabila kaki kirinya tidak dapat membengkok selepas beberapa pembedahan dilakukan di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai.

"Gaji yang saya dapat antara RM800 hingga RM1,200 sebulan itu sekurang-kurangnya dapat menampung kehidupan harian kami," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lata Tual, Lata Rek di sini pada Isnin.

Menurut Marina, mereka pernah berdepan masalah kewangan sehingga terpaksa makan nasi putih bersama budu sahaja tetapi mujur anak-anak sudah biasa dengan keadaan itu.

Marina turut mengambil berat pendidikan anak-anak termasuk menghantar sejumlah wang sebulan untuk perbelanjaan anaknya, Shamsul Bahari Rosli, 21, yang melanjutkan pelajaran di Universiti Utara Malaysia.

Tiga lagi anak pasangan itu masih bersekolah berusia antara 7 hingga 18 tahun.

Artikel Berkaitan:

"Seorang lagi anak saya berusia 24 tahun bekerja sebagai kelindan lori dan banyak membantu keluarga dengan memberikan wang perbelanjaan mengikut kemampuannya," katanya.

Bagaimanapun, menurut Marina, beban yang ditanggung berkurangan dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan.

Ibu kepada enam anak itu juga bersyukur kerana dapat membina rumah dengan selesa di atas tanah milik sendiri hasil bantuan orang ramai dan badan bukan kerajaan setempat.

"Sebelum ini kami tinggal di bangsal kecil selama dua tahun apabila rumah lama tidak jauh dari sini dihanyutkan banjir.

"Bagaimanapun keadaan menjadi sukar kerana tiada bekalan elektrik di dalam bilik anak-anak.

"Kami hanya menyambung bekalan elektrik dari rumah jiran untuk kegunaan di ruang tamu dan dapur dengan bayaran RM40 sebulan," katanya.

Keluarga itu juga menggunakan air tadahan dari bukit untuk kegunaan harian.

Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan boleh salurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 0320029000148797 atas nama Marina Roswati Hamad atau menghubunginya di talian 0138882579.