Kabinet Anwar, subsidi bersasar jadi tumpuan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara di Bangunan Perdana Putra pada Ahad. - Foto Bernama.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara di Bangunan Perdana Putra pada Ahad. - Foto Bernama.
A
A
A

PENANTIAN pengumuman senarai kabinet kerajaan baharu semakin mendebarkan apatah lagi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau yang tidak mahu melantik jemaah menteri atas tujuan memberi 'ganjaran'.

Ia menguatkan lagi ikrar Anwar untuk mengecilkan anggota kabinet sebagai langkah mengelakkan pembaziran negara.

Pada Ahad, Anwar berkata, beliau sebaliknya mahu anggota kabinet yang dilantik menyokongnya atas dasar polisi dan komitmen terhadap tadbir urus baik, memerangi isu rasuah dan pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau tetap akan mengecilkan anggota kabinet dan tidak mahu terus melantik lebih 70 menteri dengan tujuan untuk memberi 'ganjaran' secara berlebihan kerana menyokongnya.

Anwar berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Tahun 2022 di Pejabat Perdana Menteri.

Dalam pada itu, subsidi bersasar yang mungkin dilaksanakan juga dijangka menjadi tumpuan dalam tempoh terdekat.

Ia susulan tempoh dua minggu yang diberikan oleh Anwar kepada jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk mengkaji dan melihat implikasi jika subsidi bersasar dilaksanakan melibatkan beberapa keperluan utama rakyat negara ini.

Anwar berkata, buat masa ini beberapa subsidi yang dilaksanakan seperti minyak dan tarif elektrik dimanfaatkan oleh semua rakyat termasuk golongan kaya dan industri besar.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini beberapa pakar ekonomi menyatakan keperluan melaksanakan subsidi bersasar kepada rakyat agar dapat meringankan beban golongan yang memerlukan dan benar-benar terkesan.

Golongan atasan dan kaya seharusnya tidak mengambil manfaat daripada subisidi diberikan lebih-lebih lagi negara kini sedang berhadapan dengan pelbagai kemelut seperti isu kestabilan ekonomi dan harga barang yang naik kerana inflasi.

Bagaimanapun, Anwar menegaskan golongan kaya dan pihak industri tidak perlu gusar memandangkan ada kepentingan lain yang akan disediakan umpamanya insentif untuk syarikat supaya tidak menjadi beban kepada mereka yang sudah terbiasa dengan subsidi.

Oleh itu, pentingnya menyelaraskan semula pemberian subsidi untuk barangan tertentu selain memastikan pemberian itu benar-benar pergi ke golongan bersasar.

Kerajaan mungkin boleh fikirkan bagaimana untuk menyelaraskan semula subsidi minyak yang mana buat masa ini dimanfaatkan oleh semua golongan dengan hanya menyasarkan hanya golongan memerlukan.