'Tiada siapa sangka Arab Saudi sebagus ini' - Renard

Reaksi Renard ketika aksi Arab Saudi menentang Poland dalam saingan Kumpulan C Piala Dunia Qatar 2022 di Stadium Education City pada Sabtu. - Foto EPA
Reaksi Renard ketika aksi Arab Saudi menentang Poland dalam saingan Kumpulan C Piala Dunia Qatar 2022 di Stadium Education City pada Sabtu. - Foto EPA
A
A
A

JURULATIH Arab Saudi, Herve Renard bangga dengan prestasi pemain biarpun skuad Timur Tengah itu gagal meneruskan rentak kemenangan seperti yang diraih pada aksi pertama selepas dikecewakan Poland 0-2 dalam saingan kedua Kumpulan C Piala Dunia Qatar 2022 pada Sabtu.

Beliau berkata, tiada sesiapa pun di dunia membayangkan pasukannya mampu beraksi seperti yang mereka lakukan pada edisi kali ini di Doha.

“Tiada siapa di dunia berasakan kami boleh beraksi di tahap ini. Di Arab Saudi kami amat mengenali pemain kami, tetapi mereka langsung tidak dikenali oleh peminat di seluruh dunia.

“Arab Saudi masih berpeluang. Saya bangga dengan para pemain. Kami sepatutnya mengawal permainan dengan lebih baik. Jika kami menyempurnakan sepakan penalti itu, babak pertama akan berakhir 1-1 dan kemudian perlawanan ini pasti berbeza,” katanya.

Selepas mengejutkan Argentina 2-1 pada perlawanan pertama, Arab Saudi bermain dengan pendekatan berbeza menentang Poland apabila lebih banyak menguasai bola.

Namun mereka dibolosi satu gol pada penghujung setiap babak menerusi Piotr Zielinski dan Robert Lewandowski.

Renard menjelaskan kekalahan di Education City itu bukannya kerana nasib malang atau tiada tuah, namun ia sebaliknya disebabkan kurang efektif.

“Kami kurang tajam di kawasan lawan menentang pasukan yang kuat. Para pemain melakukan kesilapan ketika membuat umpanan dan tidak bermain secara realistik, tetapi kami tidak akan berputus asa,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sejurus tamat perlawanan Renard tetap bersalam dengan pemainnya di samping bertepuk tangan ke arah penyokong.

Bagaimanapun sokongan paling kuat diberikan kepada pemain tengah bertahan, Abdulelah Al-Malki yang melakukan kesilapan hingga membolehkan Lewandowski merampas bola sebelum menyepak leret melepasi penjaga gol Mohamed Al-Owais.

“Memang mudah untuk menyalahkan atau bertempik terhadap pemain, saya menyokong Al-Malki selepas kesilapannya dan inilah cara pasukan kejurulatihan saya.

“Sesetengah pemain melakukan kesilapan hari ini, tetapi ia berlaku, lagipun bola sepak adalah permainan berpasukan,” katanya.

Jurulatih berusia 54 tahun itu turut membayangkan pemain akan mempamerkan semangat dan keinginan yang sama ketika menentang Mexico di Stadium Lusail pada 1 Disember.

“Pemain memerlukan bantuan penyokong untuk melakar sejarah, saya mahu stadium menjadi hijau sekali lagi. Mungkin kami bermain dengan jersi putih, tetapi ia tidak penting, kami mahukan sokongan daripada peminat,” ujar Renard.