Lewandowski julang Poland kecewakan Arab Saudi

Lewandowski (kanan) menyumbat satu gol untuk membantu Poland menewaskan Arab Saudi 2-0 dalam saingan Kumpulan C Piala Dunia 2022 di Stadium Education City pada Sabtu. -Foto EPA
Lewandowski (kanan) menyumbat satu gol untuk membantu Poland menewaskan Arab Saudi 2-0 dalam saingan Kumpulan C Piala Dunia 2022 di Stadium Education City pada Sabtu. -Foto EPA
A
A
A

IMPIAN Arab Saudi untuk meneruskan rentak kemenangan tidak kesampaian apabila dikecewakan Poland 0-2 pada aksi Kumpulan C Piala Dunia Qatar 2022 di Stadium Education City sebentar tadi.

Pemain sensasi, Piotr Zielinski dan Robert Lewandowski muncul wira buat Poland yang dibimbing Czeslaw Michniewicz.

Poland yang sebelum ini seri tanpa jaringan dengan Mexico pada aksi pertama Rabu lalu bangkit meraih kemenangan berharga untuk mencerahkan peluang ke pusingan kalah mati.

Arab Saudi yang masih segar dengan kejutan ke atas Argentina 2-1 pada aksi pertama lalu mengasak kubu Poland sebaik wisel dibunyikan.

Permainan berintensiti tinggi yang ditunjukkan kedua-dua pasukan membuktikan kesungguhan para pemain untuk memburu gol awal.

Bagaimanapun, Poland lebih bertuah apabila terlebih dahulu di depan menerusi jaringan Zielinski pada minit ke-39 yang menyempurnakan dengan baik bola hantaran Lewandowski.

Arab Saudi juga berpeluang meledak, namun ketangkasan Wojciech Szczesny di gawang Poland menafikan dua sepakan penalti yang mengecewakan pasukan Timur Tengah itu.

Bersambung babak kedua, Arab Saudi yang enggan berputus asa gigih mengasak, namun gagal menemui gawang.

Artikel Berkaitan:

Situasi sebaliknya berlaku apabila Lewandowski mengambil kesempatan di atas kesilapan pemain pertahanan Arab Saudi, Abdulelah Al-Malki untuk menyumbat gol kedua menewaskan penjaga gol Mohammed Al-Owais pada minit ke-82.

Jaringan itu menjadi gol pertama Lewandowski dalam saingan Piala Dunia pada penampilan kelima pemain berusia 34 tahun itu di pentas.