Lawatan PM ke Arab Saudi erat hubungan antarabangsa

Anwar dan delegasi selepas mengakhiri lawatan rasmi tiga hari ke Arab Saudi. -Facebook Anwar Ibrahim
Anwar dan delegasi selepas mengakhiri lawatan rasmi tiga hari ke Arab Saudi. -Facebook Anwar Ibrahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lawatan rasmi tiga hari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi dari 22 hingga 24 Mac lepas dilihat berjaya mengeratkan hubungan antarabangsa dan perdagangan sekali gus memperkukuh aktiviti keislaman.

Timbalan Pengarah Institut Asia Eropah, Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Roy Anthony Rogers Peter Rogers berkata, tiga aspek tersebut memberi tambah nilai kepada hubungan Malaysia dan Arab Saudi yang telah terjalin sejak berpuluh tahun.

"Lawatan berkenaan adalah kesinambungan kepada hubungan erat antara Malaysia dan Arab Saudi iaitu sejarah awal selepas kemerdekaan negara, Arab Saudi merupakan negara terawal yang mengiktiraf kemerdekaan Malaysia dan membuka kedutaan di negara ini sekitar 1961.

"Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman juga pernah dilantik sebagai Setiausaha Agung Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang pertama dan hubungan itu sudah jelas cuma lawatan kali ini dilihat memperkukuh lagi jalinan sedia ada,” katanya pada program Apa Khabar Malaysia di Bernama TV pada Isnin.

Roy Anthony Rogers berkata, pemeteraian tiga Memorandum Persefahaman (MoU) antara syarikat swasta Malaysia dan Arab Saudi semasa lawatan itu ternyata membuka peluang penglibatan syarikat Malaysia di Timur Tengah sekali gus menambah pelaburan negara.

Selain itu, Roy Anthony Rogers juga menyifatkan Malaysia dan Arab Saudi mempunyai hubungan istimewa di bawah payung Islam terutama melibatkan pengurusan ibadah haji dan umrah yang memerlukan kerjasama kedua-dua negara.

"Seperti diketahui ada dua kota suci umat Islam terletak di Arab Saudi iaitu Makkah dan Madinah dan ini menjadikan hubungan ini istimewa sehingga Arab Saudi merupakan negara luar ASEAN pertama dilawat secara rasmi oleh Anwar sejak menyandang jawatan Perdana Menteri ke-10.

"Kita juga mengharapkan lawatan ini memberi ruang kepada penambahbaikan kuota dan kos bayaran haji supaya umat Islam di Malaysia dapat peluang menunaikan haji dengan kos yang lebih berpatutan walaupun kita sedar Arab Saudi berhadapan dengan kenaikan kos pengurusan ibadah itu ketika ini,” katanya. - Bernama