Ubur-ubur: APM diminta naikkan papan amaran, bendera merah

Ubur-ubur putih dikesan di Pantai Batu Hitam pada Jumaat. Gambar kecil: Gambar kecil dari kiri; Wan Zarina, Mohd Ali dan Talib.
Ubur-ubur putih dikesan di Pantai Batu Hitam pada Jumaat. Gambar kecil: Gambar kecil dari kiri; Wan Zarina, Mohd Ali dan Talib.
A
A
A

KUANTAN - Pengunjung Pantai Batu Hitam di sini meminta Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang bertugas mengemas kini status terkini kehadiran ubur-ubur putih di pusat peranginan itu yang ditemui petang Jumaat.

Rata-rata pengunjung yang ditemui Sinar Harian juga mengakui tidak mengetahui tentang kehadiran ubur-ubur dan mahu pihak berkaitan segera meletakkan papan tanda amaran dan bendera merah, jika haiwan terbabit dikesan di pantai berkenaan.

Seorang pengunjung, Wan Zarina Wan Chik, 56, dari Jengka berkata, dia tidak mengetahui kehadiran ubur-ubur di pusat peranginan itu.

Dia bersama suami dan cucu singgah di Pantai Batu Hitam untuk beristirahat sebelum menghadiri kenduri di Beserah.

"Saya tidak tahu ada kehadiran ubur-ubur beracun, kebetulan datang sini untuk melihat suasana, tiada perancangan untuk mandi manda di pantai ini.

"Tapi saya minta pihak APM, kalau boleh segera naikkan bendera merah, pasang papan tanda amaran supaya pengunjung mengetahui kehadiran ubur-ubur ini," katanya yang mahu peringatan diberikan dari semasa ke semasa.

Bagi Mohd Ali Zamri, 46, pula mahu papan tanda amaran diletakkan di kawasan Pantai Batu Hitam bagi membolehkan pengunjung mengetahui kehadiran haiwan terbabit.

Menurutnya, ubur-ubur boleh dikatakan setiap tahun terdampar di pesisir pantai itu setiap kali tiba Monsun Timur Laut (MTL).

Artikel Berkaitan:

"APM kena beri peringatan kepada pengunjung yang datang kerana mereka tidak tahu kehadiran ubur-ubur ini.

"Saya bila dengar ada haiwan ini, memang tidak akan mandi kerana bimbang keselamatan diri," katanya.

Senada dengan Mohd Ali, penjawat awam, Mohd Anizan Ibrahim, 40, juga meminta pihak APM membuat pemantauan secara berkala bagi mengesan kehadiran ubur-ubur terbabit.

Menurutnya, jika haiwan itu berada di sekitar Pantai Batu Hitam ini, segera letakkan papan amaran bagi membolehkan pengunjung sedar bahaya ubur-ubur.

"Saya yakin ramai yang tidak tahu, jadi APM kena main peranan untuk beri peringatan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kuantan, Talib Husin memaklumkan nelayan juga berdepan dengan ubur-ubur di lautan dan mengganggu kerja-kerja penangkapan ikan.

Bagaimanapun katanya, nelayan sentiasa berhati-hati dengan kehadiran ini dan tidak menyentuh haiwan terbabit.

"Bila tiba MTL ubur-ubur akan banyak dan nelayan sudah biasa dengan situasi ini," ujarnya ringkas.