'Jangan bagi muka pihak sebar isu sensitif di media sosial'

Pemuda PH Selangor membuat laporan berhubung isu-isu menyentuh sensitiviti agama dan kaum yang dimuat naik menerusi media sosial di IPD Shah Alam pada Sabtu.
Pemuda PH Selangor membuat laporan berhubung isu-isu menyentuh sensitiviti agama dan kaum yang dimuat naik menerusi media sosial di IPD Shah Alam pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Pakatan Harapan (PH) Selangor menggesa mana-mana pihak yang memuat naik sebarang kandungan berunsur penghinaan dan sensitiviti agama di media sosial dikenakan hukuman setimpal.

Naib Ketua Pemuda Amanah Selangor, Abbas Azmi berkata, tindakan mengeluarkan sebarang kenyataan sama ada berbentuk tulisan atau video jelas memaparkan satu bentuk fahaman politik sempit kepartian sesetengah pihak.

"Kami mengambil maklum atas penularan beberapa video menerusi media sosial sejak akhir-akhir ini dan apa yang kami mahukan adalah perbuatan ini harus dihentikan segera.

"Perbuatan memuat naik perkara yang menyentuh sensitiviti agama dan bangsa ini adalah sama sekali tidak diterima dalam negara kita yang majmuk ini," katanya kepada Sinar Harian selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini pada Sabtu.

Katanya, tindakan menghina kaum-kaum tertentu ini adalah hasil kempen sesetengah pihak ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

"Kempen kebencian yang ditaburkan oleh sesetengah pihak secara langsung memberikan kesan kepada golongan muda.

"Mereka ini dilihat cuba meraih undi dengan menabur kebencian, menghina pihak tertentu sekaligus menyebabkan golongan muda terpengaruh sekaligus mengakibatkan amarah itu ditafsirkan menerusi media sosial," katanya.

Menurutnya, diharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera tegas terhadap mana-mana pihak yang dilihat cuba menyemai kebencian antara kaum dan agama.

Artikel Berkaitan:

"Malaysia ini milik kita semua dan keharmonian ini wajar dipertahankan untuk membina negara yang gemilang," katanya.