Sila log masuk terlebih dahulu.

Sorotan kegagalan Anwar bernoktah, kini tiba masa untuk berubah

Anwar Ibrahim (tengah) hadir ke Masjid Putra untuk menunaikan solat Jumaat. - Foto Bernama
Anwar Ibrahim (tengah) hadir ke Masjid Putra untuk menunaikan solat Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

[DIKEMAS KINI] BERATUS penulisan telah saya garapkan demi mengolah persetujuan umum bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah sosok yang paling layak menjadi Perdana Menteri (PM).

Mengapa layak? Mohon ulang kaji ratusan tulisan saya itu. Ada ulasan yang pendek, ada juga artikel yang berjela hingga ramai yang minta saya lukiskan sahaja.

Sejak petang tadi, saya masih tidak mampu menulis apa-apa hingga diselubungi malap senja.

Saya berniat untuk ekpresi perasaan saya di saat Anwar Ibrahim dinobatkan sebagai PM, namun saya temui kebuntuan.

Rupanya tidak ada perkataan yang setara untuk menggambarkannya. Begitu sulit, speechless.

Justeru biar saya sorotkan sedikit kisah Anwar Ibrahim daripada pandangan dan pengalaman saya. Anwar Ibrahim Bapa Reformasi Malaysia.

Melalui UMNO suatu ketika dulu, Anwar berusaha membuat perubahan dari dalam.

Perjalanan pantas beliau hingga ke persada Menteri Kewangan dan pemangku Perdana Menteri amat tidak disenangi kerana kelantangan menentang rasuah dan kebobrokan salah guna kuasa.

Artikel Berkaitan:

Keunggulan beliau telah terhalang oleh dakyah pembohongan. Maka di sini bermulanya era Reformasi dan siri-siri cubaan untuk menjadi penyelamat negara.

Cubaan pertama adalah dari penjara pada Pilihan Raya Umum ke-10 (PRU10), pembangkang menang banyak kerusi, tetapi gagal untuk menumbangkan diktator. Anwar terus berada di dalam penjara.

Percubaan kedua pada PRU11 tidak meletakkan sebarang harapan apabila Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) mengambil alih tampuk pemerintahan.

Pak Lah dengan gelaran Mr Clean, dia sapu bersih hampir semua kerusi Parlimen yang ada.

KeAdilan (Parti Keadilan Rakyat)? Kalau buat kubur pun perlu dua batu nesan, tetapi KeAdilan pada masa itu hampir dikuburkan dengan hanya tinggal satu kerusi sahaja, Permatang Pauh.

Cubaan ketiga, mungkin ada sedikit bibit-bibit penyesalan buat Pak Lah yang membebaskan Anwar sebelum waktunya, seperti Fulgencio Batista menyesal membebaskan Fidel Castro pada tahun 1955 yang membawa kepada kejatuhan regim Batista di Republik Cuba pada tahun 1959.

Pak Lah membebaskan Anwar pada tahun 2005, dan kemudian Pak Lah tergelincir daripada jawatan PM kepada Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) pada tahun 2009.

Ceritanya, Barisan Alternatif yang dipimpin Anwar masih gagal pada PRU12, namun beliau membawa gelombang besar yang merampas lima negeri. Lahirlah Pakatan Rakyat.

Cubaan keempat, Anwar bertanding pilihan raya kecil pada Julai 2008 kerana ketika PRU12, tempoh edah keluar penjara masih belum cukup untuk bertanding.

Anwar menang kerusi Permatang Pauh, kembali ke Parlimen dengan bergaya, dan daripada gayanya itu maka hadir 40 ahli Parlimen kerajaan yang menyatakan sokongan untuk Anwar menjadi Perdana Menteri. Peristiwa ini dinamakan Langkah 16 September.

Ada yang mengatakan Langkah 16 September itu satu pembohongan, namun tidak dapat menjelaskan mengapa Speaker Dewan Rakyat yang ketika itu seorang pendekar tidak berani terima usul undi tidak percaya.

Malah ada pula rombongan kursus pertanian ahli Parlimen ke Taiwan pada tempoh sekitar 16 September 2008.

Maka gagal lagi dan terakam juga dalam sejarah, kegagalan 16 September juga berpunca daripada penolakan parti agama.

Cubaan kelima PRU13, PRU ini sepatutnya boleh menang tetapi digagalkan oleh permasalahan dalaman parti agama.

Mereka mengalahkan sesama mereka, Abang Mat (Mohamad Sabu) yang ketika itu Timbalan Presiden juga kalah di Pendang, sedangkan Pendang juga adalah kubu parti agama. Anwar kembali ke penjara, deja vu.

Cubaan keenam, pasca PRU14 Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad) mungkir janji.

Seyogia Anwar dilantik sebagai PM dalam masa dua tahun tetapi Mahathir telah meletakkan jawatan tanpa perbincangan.

Yang di-Pertuan Agong (YDPA) lantik Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) jadi PM yang disifatkan cukup majoriti.

Waktu ini Anwar telah mula digelar PM Tepi, dan ketika ini juga RM600 bilion duit rakyat dibelanjakan tanpa rekod di atas nama darurat, tapi itu cerita lain insya-ALLAH akan meletop sedikit masa lagi.

Cubaan ketujuh, BN tarik sokongan terhadap Muhyiddin. Usaha ini melibatkan surat sokongan dari ahli Parlimen UMNO meletakkan Anwar sebagai PM untuk tumbangkan Muhyiddin.

Setelah tekanan begitu hebat, Muhyiddin letak jawatan.

Disangkakan jawatan itu beralih kepada Anwar seperti 'pas baton' acara lari berganti, rupanya perlumbaan jawatan PM ini perlu melintasi garisan Istana.

Maka Anwar gagal lagi apabila UMNO dihidang jawatan Perdana Menteri.

Ismail Sabri, satu watak yang tiada karakter atau material PM, telah menjadi PM kesembilan.

Cubaan kelapan ialah melalui PRU15. Parlimen tergantung kerana tiada blok yang menang kerusi melebihi angka 112.

Perikatan Nasional (PN) menang 73 kerusi dengan gelombang dakyah TikTok tetapi belum habis kira undi mereka sudah umum membentuk kerajaan. Sungguh pra-ejakulasi.

Pakatan Harapan menang sekadar 82 kerusi, BN pula menang 30 kerusi. Jumlah ini solid untuk kerajaan majoriti mudah, namun rundingannya bukan mudah.

Hanya dua nama sahaja yang dicalonkan sebagai PM, Anwar atau Muhyiddin.

Statutory Declaration (surat akuan berkanun) atau SD tidak laku di zaman gezetan akta lompat parti.

Di pihak PN, tidak langsung menjamin jumlah majoriti manakala di sebelah PH sudah cukup untuk enbloc 82 dan 30.

Pada pendapat peribadi saya, wewenang kebijaksanaan YDPA telah mengambil keputusan meletakkan Anwar sebagai calon tunggal PM10 di atas angka jelas enbloc 82 dan 30.

Anwar dan Muhyiddin dipanggil menghadap, tuanku mencadangkan PN menyertai PH membentuk kerajaan perpaduan dengan Anwar sebagai PM kerana memiliki kerusi lebih banyak.

Tetapi Muhyiddin menolak saranan tuanku, menurunkan tandatangan sambil mencoretkan perkataan tidak setuju.

Ini diakuinya dalam sidang media selepas pertemuan Istana. Di sinilah aksi yang 'membunuh' segala peluang PN untuk menjadi kerajaan, malah sesuku daripada kerajaan pun belum tentu.

Tuanku YDPA seterusnya mengeluarkan titah, maka terbentuklah kerajaan perpaduan Malaysia.

Pembentukan kerajaan perpaduan ini amatlah penting apabila melihat dakyah perkauman menjadi modal utama sesetengah pihak untuk membuah kemenangan.

Tuanku YDPA amatlah bijaksana, prihatin dan peka dengan perkembangan tanah air.

Saya percaya, Tuanku YDPA memberikan peluang kepada Anwar untuk membuktikan sesuatu dan seterusnya meletakkan negara ini ke landasan yang tepat.

Setelah selesai Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja, seluruh rakyat Malaysia tertumpu kepada laman rasmi Istana Negara.

Butang 'refresh' ditekan setiap lima saat. Tepat jam 1.25 tengah hari, surat istana muncul di grup WhatsApp, saya bergegas membuka laman Facebook Istana Negara, ya memang sudah ada tiga muka surat jelanya.

Muka surat pertama saya 'scan' tiada nama, kemudian muka surat dua dan tiga, tiada nama juga. Apakah ditangguhkan lagi?

Saya tidak membaca, saya hanya mencari nama kerana dua surat Istana sebelum ini telah menyebabkan hati berderai melihat nama Muhyiddin dan nama Ismail tertera.

Saya kembali ke muka surat pertama, cari nama sampai di bawah, saya nampak nama Anwar Ibrahim.

Ketika saya menulis ini pun saya sebak, bayangkanlah bagaimana air mata ini berderai sewaktu terlihat nama Anwar.

Saya terus mendail menyampaikan berita sambil teresak. Saya masuk ke dapur mendapatkan pelukan isteri.

Saya katakan, Anwar PM, Anwar PM. Itulah detiknya, perasaan yang tidak mampu saya gambarkan dalam apa jua perkataan di kamus dwi-bahasa mahupun kamus google.

Setelah lapan kali cubaan, Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya dinobatkan sebagai YAB Perdana Menteri Malaysia.

Rakyat Malaysia akhirnya bertuah! Terima kasih YDPA. Inilah sebenarnya kerajaan tuanku untuk rakyat, Kerajaan Beta!

EDY NOOR REDUAN

Aktivis Blogger

25 November 11.39pm