'Sudah tiba masa UMNO sandar masa depan kepada generasi muda' - Tok Mat

Mohamad menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) malam ini. - Foto Bernama
Mohamad menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) malam ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - UMNO tidak lagi boleh memencilkan peranan generasi muda kerana Pergerakan Pemuda dan Puteri adalah 'armada' dalam kemajuan parti dan bangsa Melayu.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, peranan kelompok itu penting dalam membangunkan semula dan mempertahankan kelangsungan parti.

Justeru katanya, sudah tiba masa untuk menyandarkan masa depan parti kepada generasi muda ini.

"Anda semua bukan sekadar penumpang atau pemerhati, dalam perjalanan bangsa yang sangat berliku. Anda adalah asbab kenapa parti ini wujud dan berkelangsungan.

"Apalagi bila mengambil kira, arus penolakan anak mudalah yang menyebabkan UMNO tewas dan terjerumus dalam keadaan sebegini.

"Jadi kepada kepimpinan Pemuda dan Puteri, saya dan rakan-rakan dalam Majlis Kerja Tertinggi, Insya-ALLAH tidak akan memandang enteng dan mengambil mudah, peranan kalian dalam menguatkan kembali UMNO," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada malam Rabu.

Jelas Mohamad, sudah tiba masanya juga untuk mengenal pasti, dan melatih generasi pelapis dalam UMNO itu sebagai persediaan untuk mereka mengemudi kerajaan dan negara pada masa akan datang.

"Pelan sedemikian akan meyakinkan ahli parti, orang Melayu dan rakyat Malaysia, tentang kesediaan UMNO untuk terus mengemudi kerajaan dan negara," katanya.

Bagaimanapun, beliau dalam masa sama turut mengakui tugas menyediakan pemimpin masa depan bukanlah kerja yang mudah.

"Kita perlu memberi bimbingan sebaiknya, agar bila mereka tampil memimpin, mereka akan memimpin dengan karakter yang perkasa dan unggul," katanya.