Anwar solat Jumaat di Masjid Putra

Anwar bersalaman dengan jemaah di Masjid Putra, Putrajaya pada Jumaat.
Anwar bersalaman dengan jemaah di Masjid Putra, Putrajaya pada Jumaat.
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan solat Jumaat di Masjid Putra di sini pada Jumaat.

Beliau yang memakai baju Melayu merah jambu, bersampin tiba di pekarangan Masjid Putra kira-kira jam 1 tengah hari.

Turut hadir mengiringi beliau, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.

Perdana Menteri bersalaman dengan jemaah sebelum menunaikan solat sunat dan duduk di ruangan saf pertama masjid berkenaan.

Beliau sebelum itu hadir memulakan tugas hari pertama di Pejabat Perdana Menteri pada 9.52 pagi pada Jumaat.

Anwar memulakan tugas sebagai Perdana Menteri pagi ini dengan mengimbas kad perakam waktu sebelum memasuki pejabatnya.

Ahli Parlimen Tambun itu kemudiannya mempengerusikan mesyuarat bersama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Anwar mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Istiadat angkat sumpah berkenaan diadakan selepas Seri Paduka memperhalusi titah pandangan Raja-Raja Melayu bagi membuat keputusan terbaik demi kepentingan dan kesejahteraan negara serta rakyat, lima hari selepas keputusan rasmi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Buat pertama kali dalam sejarah negara, keputusan PRU15 berakhir dengan situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti atau gabungan parti politik mendapat majoriti mudah bagi membentuk kerajaan Persekutuan.

PRU15 menyaksikan keputusan PH memperoleh 82 kerusi, PN (73), BN (30), GPS (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua), manakala Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), masing-masing menang satu kerusi.

Menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, akhirnya hasil rundingan antara parti bersetuju dan menyokong pembentukan kerajaan perpaduan yang diterajui PH.