Agong sosok penting rungkai pelantikan Perdana Menteri

Al-Sultan Abdullah (kanan) berkenan mengurniakan Suratcara Pelantikan sebagai Perdana Menteri ke-10 kepada Anwar pada lstiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri di Istana Negara pada Khamis. - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah (kanan) berkenan mengurniakan Suratcara Pelantikan sebagai Perdana Menteri ke-10 kepada Anwar pada lstiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri di Istana Negara pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Selepas lima hari Parlimen tergantung yang menyebabkan ketidaktentuan politik, akhirnya persoalan siapakah gerangan Perdana Menteri ke-10 terjawab pada Khamis apabila Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dinamakan ke jawatan itu.

Namun, pemilihan Anwar yang menoktahkan teka-teki 33 juta rakyat Malaysia khususnya lebih 17 juta pengundi yang pada 19 November keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), bukanlah satu proses yang mudah.

Situasi Parlimen tergantung, yang pertama dihadapi negara sejak pilihan raya umum diadakan pada tahun 1955 atau lebih enam dekad lepas, berlaku apabila tiada parti politik atau gabungan parti politik mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Dalam keadaan itu, parti politik yang dikatakan mendapat kerusi terbanyak terutamanya PH dan Perikatan Nasional (PN) yang masing-masing mendapat 82 dan 73 kerusi Parlimen dilihat ‘berlumba’ mencari ‘gabungan’ untuk melepasi majoriti mudah 112 kerusi.

Selain PH dan PN, keputusan PRU15 menyaksikan Barisan Nasional (BN) memperoleh 30 kerusi Parlimen, GPS (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) dan Parti Bangsa Malaysia serta Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu.

Bagaimanapun, berdasarkan kenyataan Istana Negara setelah menerima pemakluman berkenaan gabungan parti-parti politik pasca PRU15 bagi pembentukan kerajaan baharu daripada ketua parti dan ketua gabungan parti politik yang mempunyai jumlah kerusi Parlimen yang banyak, didapati tiada ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah untuk dilantik sebagai perdana menteri.

Dalam kebuntuan yang dihadapi, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah adalah sosok penting yang memayungi rakyat dalam merungkaikan kebuntuan berhubung pelantikan perdana menteri dan pembentukan kerajaan Persekutuan.



Seri Paduka menggunakan proses yang teliti dan terperinci termasuk menitahkan ketua-ketua gabungan PH dan PN untuk menghadap ke Istana Negara selain wakil Barisan Nasional (BN) dan GPS.



Malah, Al-Sultan Abdullah juga hampir setiap hari menitahkan rakyat supaya bersabar dan bertenang dalam menghadapi ketidaktentuan serta mendoakan negara sentiasa diberkati, dirahmati dan dijauhi bencana dan musibah.
Artikel Berkaitan:


Al-Sultan Abdullah juga telah menitah perkenan untuk Istana Negara menganjurkan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara pada Khamis bagi Seri Paduka Baginda mendapatkan pandangan Raja-Raja Melayu.

Proses itu adalah untuk membolehkan Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Seri Paduka mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat sebagai perdana menteri selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Setelah memperhalusi titah pandangan Raja-Raja Melayu, Al-Sultan Abdullah telah memberi perkenan untuk melantik Anwar iaitu Ahli Parlimen Tambun sebagai Perdana Menteri ke-10 selaras dengan kuasa Seri Paduka yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan. - Bernama