PH hantar SD sokong Wan Rosdy sebagai MB Pahang

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) Pahang telah menghantar akuan bersumpah (SD) menyokong Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebagai Menteri Besar, kepada Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah.

Pengerusi PH Pahang, Datuk Seri Amirudin Shari yang memaklumkan perkara itu berkata, pihaknya kini hanya menunggu masa bagi istiadat menghadap dan mendapat perkenan Pemangku Raja Pahang, namun tidak mendedahkan bila SD itu dihantar.

Kita hanya menunggu masa menghadap dan masa perkenan Duli Maha Mulia Tuanku. Sebab kita bukan dalam posisi (untuk meminta menghadap).

"Kita sudah berbincang dan meletakkan usaha kita serta menyatakan dengan rasmi kesediaan menyokong Datuk Seri Wan Rosdy. Jadi kalau boleh ia dapat dijalankan dengan baik dan ada beberapa perkara-perkara lain yang dapat diuruskan,” katanya pada pemberita di Bangunan Annex, Dewan Negeri Selangor, pada Khamis.

Amirudin berkata, perbincangan antara PH dan BN Pahang bagi pembentukan kerajaan Pahang, telah dilakukan sejak malam keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan beliau juga telah membuat satu pertemuan dengan Wan Rosdy bagi proses pembentukan tersebut.

Semalam media melaporkan lapan wakil rakyat PH yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang pada PRU15 menandatangani SD menyokong Wan Rosdy sebagai Menteri Besar.

Perkara itu disahkan Sim Chon Siang, yang memenangi DUN Teruntum yang menyatakan proses menandatangani SD itu berlangsung di sebuah pejabat peguam di Temerloh, Pahang semalam.

DUN Pahang tergantung selepas keputusan PRU15 menyaksikan tiada parti berjaya memperoleh majoriti mudah iaitu 22 kerusi bagi membentuk kerajaan negeri, dengan BN memperoleh 16 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) mendapat 17 kerusi dan lapan oleh PH.

Artikel Berkaitan:

Terdapat 42 kerusi DUN Pahang, namun proses pengundian DUN Tioman akan diadakan pada 7 Dis ini, susulan kematian calon PN, Md Yunus Ramli, 61, pada 3.30 pagi hari pengundian, dipercayai akibat serangan jantung. - Bernama