Kemelut mungkin tidak berlaku jika calon PM dari Pas

Tengku Haphiz
Tengku Haphiz
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kemelut pembentukan kerajaan baharu dan pemilihan Perdana Menteri ke-10 bagi meneraju negara mungkin tidak berlaku sekiranya calon yang akan diangkat adalah dalam kalangan pimpinan Pas.

Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera berkata, pimpinan dari Pas sepatutnya lebih layak dicalonkan sebagai Perdana Menteri berdasarkan jumlah kerusi Parlimen paling banyak yang dimenangi parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun, kata beliau, keputusan itu tidak boleh diubah memandangkan Pas telah berpegang pada perjanjian Perikatan Nasional (PN) di mana hanya mencalonkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri pada PRU15.

"Beliau (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sebaliknya dilihat gagal memahami hasrat dizahirkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu menyelesaikan kemelut politik negara dengan mencadangkan pembentukan kerajaan perpaduan.

"Hasrat Seri Paduka Baginda ditolak dengan alasan PN tidak boleh berkompromi bersama Pakatan Harapan (PH) kerana tidak sehaluan dalam soal ideologi pembangunan politik masing-masing.

"Sedangkan, apa yang dimahukan Baginda merupakan suatu pendekatan baharu dalam menterjemahkan sebuah solusi yang berkesan.

"Jika tidak, sampai ke hujung penggal pun tiada sebuah gabungan parti politik yang mampu untuk membentuk kerajaan,"katanya ketika dihubungi, di sini, pada Khamis.

Dalam perkembangan sama, Tengku Haphiz berkata, akar umbi parti mahukan 30 Ahli Parlimen BN yang dipilih rakyat dalam PRU15 sehaluan dalam memilih tampuk pemerintahan negara dan tidak sekali-kali berpecah.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun jumlah Ahli Parlimen BN hanya 30 orang dan kita lebih selesa untuk membentuk blok pembangkang, tetapi ketika ini mungkin pada hemah Baginda kita boleh menyelamatkan negara daripada terjerumus ke dalam krisis politik.

"Justeru, kami mohon supaya apa yang disuarakan oleh kesemua Ahli Parlimen (BN) itu nanti perlu sebagai sebuah jemaah. Bawalah pandangan yang mengikuti hasrat akar umbi parti.

"Lima juta ahli BN yang juga rakyat Malaysia tidak mahu keputusan yang dibuat untuk negara nanti hanya mementingkan soal peribadi semata-mata,"ujarnya.

Jelas beliau, dua kerajaan yang dibentuk atas asas politik semata-mata sebelum ini tidak membuahkan natijah yang dilihat mampu memberikan perubahan besar dan positif kepada negara.

"Kita telah melalui kerajaan yang dibentuk atas asas politik semata-mata seperti tahun 2018 (PH) dan 2020 (PN). Kedua- duanya tidak dapat diselamatkan sehinggalah tertubuh kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Jangan terperangkap sekali lagi dengan ungkapan pembentukan atas satu bangsa. Tempoh lima tahun akan datang merupakan satu tempoh yang lebih mencabar khususnya pada 2023 dimana krisis ekonomi dunia bakal berulang.

"Justeru, kita perlukan semua pihak dan semua bangsa bersatu untuk mempertahankan negara," ujar beliau.

Keputusan PRU15 pada 19 November lalu menyaksikan tiada mana-mana gabungan parti yang mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan menyebabkan pembentukan kerajaan baharu masih lagi tergantung sehingga hari ini.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Raja-Raja Melayu dijangka mengadakan perjumpaan khas di Istana Negara, pada Khamis.

Difahamkan, Seri Paduka akan meminta pandangan Raja-Raja mengenai kebuntuan pembentukan kerajaan persekutuan.

-ENDS-