Calon Pas DUN Kemasik tuntut permohonan maaf

Saiful Azmi
Saiful Azmi
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Calon Pas Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili menuntut permohonan maaf daripada Ezza Suria Muda dan beberapa media tempatan berhubung laporan kenyataan yang didakwa mempunyai unsur fitnah.

Dalam surat yang dihantar oleh peguam Nordin Kassim & Aziz pada Selasa itu menyatakan bahawa, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Kemasik tersebut memberi tempoh selama 24 jam dari tarikh penerimaan notis tersebut untuk menarik semua kenyataan berkenaan.

Menurut hantaran surat tersebut, Saiful Azmi turut memohon memadamkan segala penyiaran kenyataan itu daripada semua laman web, portal, akhbar dan mana-mana platform yang menyiarkan isu berkenaan kerana telah menyebabkan beliau menanggung kesusahan, aib dan kerosakan reputasi.

“Ezza perlu membuat permohonan maaf tanpa syarat dan terbuka secara bertulis kepada anak guam kami dan menyiarkan (penyataan maaf) yang sama dalam semua media yang menyiarkan isu ini.

“Ezza juga perlu memberikan aku janji agar tidak akan mengulangi kenyataan fitnah berkenaan dan membayar ganti rugi.

“Sekiranya gagal, anak guam kami akan meneruskan tindakan undang-undang dan menuntut ganti rugi atau perintah injunksi tanpa sebarang rujukan lanjut,” katanya memetik laporan media rasmi kerajaan negeri Terengganu pada Rabu.

Dalam pada itu, menurut surat berkenaan, Nordin Kassim & Aziz menegaskan bahawa dakwaan yang dibuat itu adalah tidak benar, mengelirukan dan tidak wajar sama sekali.

“Kenyataan berkenaan dibuat secara terancang lebih-lebih lagi selepas anak guam kami telah sah dicalonkan sebagai calon Pas di DUN kemasik.

“Ia bersifat skandal, sensasi dan satu cubaan membunuh karakter yang terancang sekali gus menimbulkan persepsi negatif terhadap anak guam kami yang juga calon Pas," ujarnya.

Sabtu lalu, seorang kontraktor wanita tampil membuat pengakuan mendakwa digantung tidak bertali oleh suaminya yang merupakan calon sebuah parti politik dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu.

Wanita terbabit, 38, mendedahkan sehingga kini tidak mengetahui status hubungannya dengan pemimpin politik berkenaan selepas lelaki itu bertindak mendiamkan diri serta cuba mengelak setiap kali diajak berbincang bersama.