Kanak-kanak perempuan maut didera bapa tiri

PDRM
PDRM
A
A
A

KAJANG - Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun maut dipercayai didera oleh bapa tirinya di rumah mereka di Taman Sri Ramal, di sini, pada Isnin.

Ketua Polis Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat kematian kanak-kanak terbabit pada jam 12.39 tengah malam Selasa daripada seorang pegawai perubatan di Hospital Serdang.

"Pihak Jabatan Kecemasan dan Trauma Zon Merah hospital berkenaan telah menerima pesakit seorang kanak-kanak perempuan yang dibawa menggunakan ambulans dari rumahnya dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 11.33 malam," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohd Zaid berkata, hasil pemeriksaan mendapati mangsa disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital.

"Hasil pemeriksaan bedah siasat pula mendapati punca kematian mangsa adalah dipercayai daripada kesan hentakan benda tumpul pada bahagian kepala dan abdomen (perut) yang menyebabkan sehingga usus pecah.

"Selain itu terdapat juga kesan-kesan cedera lebam di bahagian punggung, dada dan lengan tangan mangsa," katanya.

Beliau berkata, sepasukan anggota polis telah menahan seorang lelaki yang juga bapa tiri mangsa berusia 53 tahun di pekarangan hospital itu pada jam 2.25 petang, Rabu.

"Siasatan lanjut mendapati suspek mengaku ada memukul mangsa sebelum ini dengan menggunakan tangan, kaki dan baldi di dalam tandas akibat marah dengan mangsa yang sering membuat masalah di rumah semasa ketiadaan ibu mangsa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Zaid berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Orang awam yang mempunyai maklumat tentang kes ini boleh menghubungi balai polis berdekatan atau pegawai penyiasat Asisten Superintendan Ray Erindra Raj di talian 019-6616640 bagi membantu siasatan," katanya.