Agong minta GPS pertimbang sertai kerajaan perpaduan

Fadillah
Fadillah
A
A
A

KUCHING - Cadangan penubuhan kerajaan perpaduan bersama parti-parti lain ini akan dibincangkan bersama pucuk pimpinan yang lain.

Apa sahaja keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah selepas ini, Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan akur.

Demikian kata Ketua Whip GPS Datuk Seri Fadillah Yusof kepada pemberita ketika ditemui di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, petang tadi.

Menurut beliau, Seri Paduka Baginda telah menitahkan GPS untuk mempertimbangkan penubuhan perajaan perpaduan.

Katanya, beliau bersama tiga pemimpin GPS berkenaan menerima titah demikian semasa menghadap Al-Sultan Abdullah di Istana Negara, Kuala Lumpur pagi tadi.

“Seri Paduka Baginda menitahkan pentingnya kerajaan perpaduan berikutan tiada gabungan parti politik yang berjaya memperoleh majoriti mudah kerusi Parlimen bagi melantik Perdana Menteri ke-10.

"Titah Seri Paduka Baginda itu sudah disampaikan kepada Pengerusi GPS Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika kunjungan hormat di DUN Sarawak petang tadi.

"Taklimat berhubung perkara itu telah disampaikan kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tuk Openg seperti mana yang telah diputuskan melalui kenyataan GPS sebelum ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ketika ditanya bila keputusan pembentukan kerajaan akan diketahui, Fadillah memberitahu beliau juga tidak mengetahui kerana ia di luar bidang kuasanya.

“Ia merupakan keputusan Yang di-Pertuan Agong. Tetapi kenyataan memberitahu bahawa Yang di-Pertuan Agong akan bermesyuarat bersama Raja-Raja Melayu dalam satu perjumpaan khas di Istana Negara, pada 10.30 pagi, Khamis.

“Jadi di situ kelak Raja-Raja akan berbincang dan juga mungkin membuat keputusan berhubung pembentukan kerajaan baharu,” ujarnya.

Ketika ditanya adakah GPS mahu bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) sekiranya diwujudkan kerajaan perpaduan tersebut, Fadillah berkata soalan itu lebih baik ditujukan kepada Premier Sarawak yang juga Pengerusi GPS.

“Setakat yang kita sudah nyatakan dalam kenyataan media sebelum ini, GPS menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan dan kita sama-sama menunggu,” ujarnya.

Terdahulu, Fadillah bersama tiga lagi Ahli Parlimen GPS iaitu Ahli Parlimen Serian Datuk Seri Richard Riot (SUPP), Ahli Parlimen Kanowit Datuk Aaron Ago Dagang (PRS) dan Ahli Parlimen Kapit Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (PBB) telah menghadap YDPA di Istana Negara pada 11.30 pagi tadi.