Puad label Annuar Musa hipokrit

Datuk Puad Zarkashi dan kenyataan yang dimuat naik ke lama facebooknya pada Rabu.
Datuk Puad Zarkashi dan kenyataan yang dimuat naik ke lama facebooknya pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - ADUN Rengit, Dr Mohd Puad Zarkashi pada Rabu, melabel bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa sebagai seorang yang hipokrit kerana pernah mempertahankan memorandum perjanjian persefahaman (MoU) antara kerajaan dan DAP sebelum ini.

Menurut Mohd Puad, tindakan Annuar itu memberikan gambaran bahawa parti berkenaan berkemungkinan tidak menolak kerjasama dengan DAP apabila membuat kenyataan, ‘apa salahnya bekerjasama dengan DAP’ dalam satu video yang tular sebelum ini.

Malah, Mohd Puad berkata, kenyataan itu dibuat ketika Datuk Seri Ismail Sabri masih menjawat jawatan selaku Perdana Menteri.

“Naratif mereka sekarang ialah “No Anwar, No DAP”. Padahal tular video Annuar yang kata, apa salahnya bekerjasama dengan DAP. Dia juga mempertahankan “MoU dengan DAP” bila Ismail Sabri jadi PM.

“Apakah itu bukan bersekongkol dengan DAP? DAP dapat peruntukan sama banyak dengan Ahli Parlimen (MP) BN.

“Bahkan dia kata MoU itu tidak ada had masa. Kalau batalkan MoU itu, BN boleh disaman. Begitu sekali dia suka DAP,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya pada Rabu.

Mohd Puad berkata demikian bagi mengulas kenyataan Annuar di laman Facebooknya pada malam Selasa yang mendakwa wujud konspirasi terancang apabila ada pihak yang cuba mengelirukan Yang di-Pertuan Agong berhubung pemilihan Perdana Menteri ke-10.

Dalam kenyataan sama, Mohd Puad turut mendakwa Annuar menuduh Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menguasai UMNO berikutan ada ura-ura BN akan menyertai PH.

Artikel Berkaitan:

“Annuar mungkin lupa ketika Tan Sri Muhyiddin menjawat jawatan Perdana Menteri, beliau (Muhyiddin) turut menguasai ahli-ahli Parlimen UMNO.

“Annuar patuh cakap Muhyiddin daripada cakap parti. Dia pertahankan keputusan Muhyiddin isytihar darurat dan gantung Parlimen...mujurlah Yang di-Pertuan Agong batalkan darurat.

“Selain itu dia (Annuar) turut berkomplot menentang keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dan menghalang parti keluar daripada Perikatan Nasional (PN) dan mahu Muhyiddin kekal sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Sementara itu Mohd Puad turut mendakwa Annuar cuba menghalang Parlimen dibubarkan awal sebelum pemilihan parti agar beliau serta kumpulannya menang pada pemilihan berkenaan ketika mereka masih menjadi menteri.

“Malah, Annuar juga mendesak pemimpin parti jangan tembak kaki sendiri. Tetapi sekarang setiap hari dia tembak kaki sendiri. Ini semua kempen pemilihan parti.

“Dia salahkan Presiden. Apa kurangnya dia. Dia juga punca kekalahan kerana tidak patuh keputusan parti. Benarkah di malam terakhir wujud perundingan agar dia jadi calon PN di Ketereh? Jangan hipokrit,” katanya.