PRN Melaka: PH 'kering' idea, hanya main isu Najib serang PN

Tuan Ibrahim berucap di Pentas Grand Finale PRN Melaka BN dan PN di Melaka pada Khamis.
Tuan Ibrahim berucap di Pentas Grand Finale PRN Melaka BN dan PN di Melaka pada Khamis.
A
A
A

HANG TUAH JAYA - Perikatan Nasional (PN) mendakwa Pakatan Harapan (PH) ketandusan idea untuk menyerang gabungan itu pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 apabila hanya memainkan isu tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, serangan itu ditujukan kepada Pas yang dilihat seolah-olah merestui perbuatan rasuah, dosa dan sebagainya.

Beliau berkata, parti itu ia tidak wajar dipersalahkan apabila tiada wakil dalam Lembaga Pengampunan yang membuat keputusan perkara itu.

"Padahal kita tidak duduk pun dalam Lembaga Pengampunan, yang ada dalam Lembaga Pengampunan ialah Menteri Wilayah Persekutuan daripada DAP, betul tak?

"Yang di-Pertuan Agong telah buat keputusan bukan membebaskan Datuk Seri Najib, beliau terus ditahan di penjara, cuma daripada penjara dipindahkan kepada penjara dalam rumah," katanya ketika berceramah di Pentas Grand Finale PRN Melaka BN dan PN di Dewan Muallim Abdul Wahid, Bukit Katil pada Khamis.

Tegas Tuan Ibrahim, kerjasama politik yang dijalin bersama Barisan Nasional (BN) tidak bermakna perlu mengorbankan prinsip dalam perkara membabitkan rasuah, dosa dan permusuhan.

"Terus terang kita katakan bahawa muafakat sekali pun dalam apa keadaan, kita ada prinsip yang kita dukung bersama.

"Tolong bantu dalam perkara baik dan takwa kepada Allah. Tidak boleh tolong bantu dalam perkara permusuhan dan perkara dosa," ujar beliau.

Timbalan Presiden Pas itu turut mempersoalkan prinsip Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan sedangkan anggota Kabinet lain tidak mengambil tindakan sama.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga mencabar semua anggota Kabinet daripada DAP supaya mengambil tindakan sama sekiranya benar-benar berpegang kepada prinsip yang dinyatakan.

"Sebab itu kita cabar kalau betul prinsip DAP dan Anthony letak jawatan atas prinsip, kita cabar semua ahli anggota Kabinet letak jawatan.

"Bukan hanya Setiausaha Agung tetapi Menteri Wilayah kena letak jawatan, seluruh anggota Kabinet letak jawatan," katanya.

Tuan Ibrahim berkata, kerajaan PH tidak akan tumbang sekiranya kesemua anggota DAP meletakkan jawatan dan boleh terus menyokong kepimpinan Anwar.

"Tetapi sebenarnya dalam sehari dua ini, wayang ini akan diulang tayang lepas pilihan raya.

"Anthony kemungkinan akan masuk semula dalam Kabinet," katanya lagi.

Beliau berkata, PN mahu menjadikan pilihan raya berkenaan sebagai referendum rakyat untuk menolak PH.

"Kita mesti buktikan PRN Melaka ini sebagai satu referendum rakyat untuk menolak PH.

"Gelombang Biru Melaka akan menjadi pemangkin kepada kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16)," katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!