DAP langgar perjanjian, pulangkan mandat kepada rakyat – Asyraf Wajdi

HANG TUAH JAYA - Barisan Nasional (BN) sedia menyerahkan semula mandat kepada rakyat sekiranya DAP tidak lagi menghormati syarat dan prinsip yang dipersetujui dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, DAP perlu kembali berpegang kepada dua perjanjian utama iaitu antara BN dan Pakatan Harapan (PH) serta perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan Malaysia.
Menurutnya, kedua-dua perjanjian itu menggariskan beberapa garis panduan termasuk taat setia institusi diraja, Yang di-Pertuan Agong, agama Islam serta keistimewaan orang Melayu.
"Kalau mereka sudah mula merasakan bahawa mereka tidak boleh lagi berpegang kepada syarat-syarat ini, maka dengan sendirinya perjanjian itu akan terbatal.
"Apabila terbatal, secara gentleman kita serahkan balik mandat itu kepada rakyat. Jangan menyusahkan rakyat dengan polemik berterusan yang menyebabkan kerajaan tidak stabil dan pandangan pelabur juga tidak baik," katanya.
Beliau ditemui pemberita di Pentas Grand Finale PRN Melaka BN dan PN di Dewan Muallim Abdul Wahid, Bukit Katil pada Khamis.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, tempoh untuk mengadakan pilihan raya juga semakin hampir berdasarkan purata tempoh pilihan raya umum sebelum ini.
Beliau berkata, sudah genap empat tahun sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sekali gus menjadikan pilihan raya sebagai satu pilihan untuk menyelesaikan kemelut politik.
"Kita tengok daripada sebelum merdeka sehingga sekarang, secara puratanya tempoh pilihan raya adalah empat tahun satu bulan atau empat tahun dua bulan.
"Tempoh pilihan raya memang lima tahun tetapi kita tidak pernah sampai ke penghujungnya," katanya.
Beliau menegaskan pendirian BN bukan untuk menukar Perdana Menteri, sebaliknya menyerahkan semula mandat kepada rakyat sekiranya garis merah yang dipersetujui bersama terus dilanggar.
"Presiden selalu menyebut kita tidak mahu tebuk atap. Tidak ada pertukaran Perdana Menteri.
"Yang kita nak ialah serahkan balik mandat ini kepada rakyat kerana kita tengok mereka sudah melanggar garis-garis merah yang kita letakkan," katanya.
Dalam perkembangan sama, Asyraf Wajdi berkata, penyatuan orang Melayu sebagai kelompok majoriti tidak bermaksud mengetepikan kepentingan kaum lain dalam negara berbilang bangsa.
Katanya, perpaduan dalam kalangan orang Melayu mampu menjadi asas kepada kestabilan politik dan keharmonian masyarakat majmuk.
Jelas beliau, penyatuan UMNO dan Pas termasuk kerjasama BN serta Perikatan Nasional (PN) tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman kepada kaum lain.
"Malaysia ini terdiri atas asas bahawa tanah air ini milik semua, orang Melayu, orang Cina, orang India, orang Kadazan, Dusun, Sabah dan Sarawak.
"Jadi tidak timbul soal kalau berpadunya bangsa teras, maka bangsa-bangsa lain akan tertindas. Itu tidak akan mungkin berlaku," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
