Pakatan bersejarah PH, BN di Perak

Barisan Pimpinan Kerajaan Negeri Perak yang diketuai Menteri Besar. Datuk Seri Saarani Mohamad (tengah) dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak yang dilantik di Istana Iskandariah pada Selasa. - Foto Bernama
Barisan Pimpinan Kerajaan Negeri Perak yang diketuai Menteri Besar. Datuk Seri Saarani Mohamad (tengah) dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak yang dilantik di Istana Iskandariah pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) yang melabuhkan tirai pada Sabtu lalu, merekodkan satu lagi episod unik dalam sejarah kerajaan Malaysia.

Mana tidaknya, apabila sehingga petang Selasa, masih tiada sebarang pembentukan kerajaan Persekutuan berikutan kesemua kerusi Parlimen tidak mencapai kuota yang disyaratkan.

Itu kisah untuk kerajaan Pusat. Namun bagi kerajaan negeri, lain pula ceritanya apabila seluruh negara terkejut dengan satu keputusan di negeri Perak.

Pada Isnin, Barisan Nasional (BN) yang memenangi 26 kerusi melalui Pengerusinya, Datuk Seri Saarani Mohamad menyatakan persetujuan untuk menjalinkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan negeri baharu.

Untuk rekod, PH di Perak berjaya meraih 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Kerjasama itu menyaksikan gabungan berkenaan mempunyai 33 kerusi DUN iaitu majoriti daripada keseluruhan 59 kerusi bagi membentuk kerajaan negeri.

Seperti yang diumumkan, keputusan di antara BN dan PH mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Sementara itu, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong meluahkan rasa tidak puas hatinya apabila mengetahui cara pembentukan kerajaan Perak pada Isnin.

Tegas Ka Siong, Dewan Tertinggi BN tidak pernah berbincang tentang bergabung dengan PH untuk membentuk kerajaan Perak.

Artikel Berkaitan:

“Saya sebagai presiden MCA dan naib pengerusi BN tidak pernah dirujuk atau dimaklumkan langsung. Entah dari mana keputusan itu dicapai. Dewan Tertinggi BN diketepikan,” kata Ka Siong.

Tentu sekali tindakan BN itu telah menimbulkan satu reaksi dalam kalangan rakyat Malaysia khasnya di Perak yang sangsi bagaimana musuh abadi iaitu UMNO-DAP boleh bekerjasama.

Semua sedia maklum sejarah terbinanya UMNO dan DAP yang mana sama sekali tidak sehaluan dan amat berbeza ideologi.

Walaupun keputusan kerjasama BN-PH itu agak kontroversi, semua pihak perlu memberi masa atau tempoh kepada gabungan tersebut untuk mentadbir kerajaan negeri.

Mungkin kita sebagai rakyat biasa tidak dapat melihat jauh ke dalam impak gabungan dua seteru itu sepertimana pandangan Sultan Nazrin. Baginda merupakan pemimpin yang bijaksana dalam menilai dan rakyat perlu percaya.

Kita beri mereka masa dan seandainya tidak berjaya juga, masih ada peluang pada PRU16 kelak.