Gunung Everest 'telan' satu lagi nyawa

Pendaki AS yang tidak didedahkan identitinya itu meninggal dunia di Kem 2, Gunung Everest. - Agensi
Pendaki AS yang tidak didedahkan identitinya itu meninggal dunia di Kem 2, Gunung Everest. - Agensi
A
A
A

KATHMANDU - Seorang pendaki dari Amerika Syarikat (AS) maut ketika mendaki Gunung Everest menjadikannya sebagai kematian warga asing pertama dicatatkan di puncak tertinggi dunia itu pada musim ini.

Penganjur ekspedisi, Beyul Adventure memaklumkan bahawa pendaki berusia 69 tahun yang tidak didedahkan identitinya itu sedang melakukan pusingan penyesuaian sekitar 6,400 meter (m) sebelum meninggal dunia pada Isnin.

"Dia berasa tidak sihat dan meninggal dunia di Kem 2.

"Usaha sedang dijalankan untuk membawa turun mayatnya," kata Pasang

Tshering yang bertindak sebagai Sherpa bagi pihak penganjur.

Tambanya, ketika ini usaha menurunkan mayat pendaki itu berdepan kesulitan ekoran cuaca buruk.

Sementara itu, rakan kongsi Beyul Adventure yang berpangkalan di AS, International Mountain Guides (IMG) menerusi ketuanya, Eric Simonson mengesahkan kematian pendaki itu bukan berpunca daripada kemalangan atau kecuaian manusia.

Pendakian Everest pada musim bunga bermula dengan tragis pada bulan lalu apabila tiga kematian direkodkan melibatkan pendaki Nepal.

Tahun ini, pihak berkuasa Nepal telah mengeluarkan sebanyak 466 permit kepada pendaki asing dengan kebanyakan mereka diiringi pemandu arah sekali gus menyaksikan lebih 900 orang cuba melakukan pendakian ke puncak tertinggi dunia itu yang berlangsung sehingga awal bulan depan.

Secara purata, kira-kira lima pendaki mati di Everest setiap tahun tetapi pada 2019 sebanyak 11 kematian dicatatkan pada tahun tersebut.

Nepal adalah rumah kepada lapan daripada 10 puncak tertinggi di dunia dan mengalu-alukan ratusan pengembara setiap musim bunga, apabila suhu panas dan angin biasanya tenang.

Bulan lalu pendaki Ireland Utara, Noel Hanna meninggal dunia di Annapurna, gunung ke-10 tertinggi di dunia yang mempunyai kadar kematian lebih tinggi daripada Everest.

Hanna, 56, yang berpengalaman mendaki Everest sebanyak 10 kali, berjaya menawan puncak Annapurna setinggi 8,091m, namun meninggal dunia di Kem 4 ketika menuruninya.

Puncak Annapurna dianggap berbahaya akibat risiko runtuhan salji yang sering berlaku.

Sekurang-kurang 365 individu telah mendaki Annapurna dan lebih 72 maut di gunung itu. - AFP