Presiden jangan tutup telinga: Ismail Sabri

Ismail Sabri - Foto Bernama
Ismail Sabri - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi digesa mendengar pandangan semua pihak terutamanya ahli UMNO yang mahu beliau meletakkan jawatan ekoran kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Ahmad Zahid perlu mengambil pertimbangan sewajarnya pandangan tersebut demi masa depan UMNO.

"Jangan tutup telinga dan langsung tidak mahu mendengar pandangan semua orang. Memang betul presiden dipilih melalui perhimpunan agung tetapi bila ketua-ketua bahagian dan banyak pihak lagi keluarkan kenyataan, saya harap presiden pertimbangkan sewajarnya.

"Presiden tidak boleh dipecat begitu sahaja. Kalau mahu pecat presiden perlukan dua pertiga sokongan ahli UMNO dan perlu panggil perhimpunan agung luar biasa," katanya.

Bagaimanapun katanya, presiden boleh bertindak menarik diri atau meletakkan jawatan secara sendiri mengikut kuasa yang diberi oleh perlembagaan UMNO.

Ditanya mengenai perbincangan dan tawaran yang diberikan oleh Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk kerajaan bersama BN, Ismail Sabri berkata, setakat ini tidak ada sebarang keputusan yang dibuat.

"Apa pun tawaran yang kita (UMNO) terima, tidak guna untuk kita bincang kerana untuk PH memang keseluruhan ahli tolak. Bagi PN pula separuh kata tidak payah bincang, jangan buang masa," katanya.

Katanya, sewaktu kepimpinan BN berjumpa dengan kepimpinan PH di Kuala Lumpur pada Isnin, penerimaan ahli-ahli UMNO sangat teruk dan mereka langsung tidak boleh menerima perkara itu.

Artikel Berkaitan:

"Sebab itu kita buat keputusan buat masa sekarang tidak perlu bagi gambaran hendak bersama PH atau PN," katanya.

Pada Isnin, seramai 26 ahli Parlimen BN hadir dalam perjumpaan bersama parti itu dan PH di sebuah hotel.

Setakat ini, belum ada mana-mana gabungan parti yang mampu membentuk kerajaan sehingga meletakkan Parlimen dalam situasi tergantung.

Pada PRU15, PH memperoleh 82 kerusi Parlimen di seluruh negara manakala PN memperoleh 73 kerusi, BN (30), Gabungan Parti Sarawak (GPS) (22), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (enam) dan Warisan (tiga). Parti Bangsa Malaysia (PBM) memperoleh satu kerusi Parlimen manakala Bebas dua.