Insiden bas Selangor FC dibaling batu, seorang lelaki ditahan

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Polis menggerakkan satu pasukan khas bagi mengesan individu yang terlibat dalam insiden kekacauan ke atas pasukan Selangor FC selepas perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia pada malam Isnin.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, setakat ini, seorang lelaki berusia 27 tahun berasal dari Manir sudah ditahan ketika melakukan perbuatan tersebut di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak.

Menurutnya, polis turut menerima laporan yang dibuat pengurusan Selangor FC di Balai Polis Gong Badak dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

“Kita tidak akan biarkan individu-individu ini terus mencemar nama baik Kelab Penyokong Terengganu FC dan negeri Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Rohaimi berkata, kekecohan kira-kira jam 11.30 malam itu bermula apabila 300 orang dipercayai penyokong Terengganu FC mula berkumpul di kawasan gate C luar stadium iaitu laluan keluar penyokong Selangor FC selepas perlawanan berakhir.

Katanya, polis bertindak menyuraikan kumpulan tersebut supaya beredar dari stadium bagi memastikan keselamatan penyokong Selangor FC.

“Semasa bas pemain Selangor FC bergerak balik ke hotel penginapan diiringi polis, beberapa kumpulan tiba-tiba melontar batu dan objek keras ke arah bas tersebut menyebabkan kerosakan pada cermin tingkap serta badan bas.

“Pada masa itu, pasukan Cantas berjaya menahan seorang lelaki yang sedang melakukan perbuatan tersebut. Selepas jam 2 pagi, semua bas penyokong Selangor FC selamat memasuki Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) dengan diiringi polis,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut memberi amaran keras dan peringatan kepada semua penyokong supaya tidak menjadikan arena sukan sebagai tempat untuk menganggu ketenteraman awam.

“Polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tergas terhadap mana-mana individu yang terlibat,” katanya.