BN Perak belum buat keputusan tolak Zahid

Saarani - Foto Bernama
Saarani - Foto Bernama
A
A
A

KUALA KANGSAR - Barisan Nasional (BN) Perak belum menyatakan sebarang pendirian berhubung desakan supaya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan sebagai pengerusi.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ketika ini bukan masa yang sesuai untuk membincangkan situasi politik tersebut.

"Tidak ada bincang perkara itu, bukan masa yang tepat buat keputusan (pendirian)," katanya ringkas kepada pemberita di sini pada Ahad.

Beberapa pemimpin UMNO sebelum ini mendesak Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO untuk berundur secara terhormat susulan prestasi buruk parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Desakan sama turut dilakukan pemimpin parti komponen dalam BN.

Keputusan PRU15 menyaksikan BN mencatat prestasi terburuk apabila hanya memperoleh 30 kerusi Parlimen.

Ia jauh lebih teruk berbanding PRU14 apabila pada pilihan raya yang diadakan pada 2018 itu menyaksikan gabungan itu menang di 54 kerusi Parlimen.

Sementara itu, Saarani yang sekali lagi dilantik sebagai Menteri Besar Perak memaklumkan Pelan Perak Sejahtera 2030 yang dilancar Jun lalu akan diteruskan di bawah kerajaan negeri baharu, kerajaan perpaduan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, peluang yang diberikan Pakatan Harapan (PH) itu akan digunakan sebaiknya dalam meneruskan pelan pembangunan negeri berkenaan.

"Saya perlukan masa lapan tahun untuk bangunkan negeri Perak setelah kecundang akibat Covid-19.

"Dengan peluang diberikan untuk menjadi menteri besar, saya akan meneruskan pelan ini untuk kebaikan kerajaan dan rakyat negeri ini," katanya ketika sidang akhbar selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak di sebuah hotel di sini pada Isnin.

Tambah Saarani, BN akur dan menghormati keputusan rakyat dalam PRU15 lalu namun, mengambil tanggungjawab untuk segera mewujudkan kestabilan politik dengan melibatkan diri dalam proses pembentukan kerajaan.

"Selepas mengambil kira senario semasa dan bagi mengelakkan Perak berada dalam suasana ketidaktentuan, BN Perak atas dasar untuk mewujudkan keamanan, kestabilan dan kesejahteraan telah mengambil keputusan menubuhkan kerajaan perpaduan.

"Kedua-dua kepimpinan parti telah menghadap dan memohon perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bagi tujuan pembentukan kerajaan negeri," katanya.

Saarani berkata, kedua-dua parti secara dasar bersetuju bahawa pembentukan kerajaan ini mestilah berpaksikan kepada komitmen bersama dalam menjunjung keluhuran Perlembagaan serta kedaulatan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.