BN, PH setuju gabung bentuk kerajaan di Perak

Saarani (tengah) bersama pemimpin DAP negeri, Dr Abdul Aziz Bari (kiri) dan Howard Lee Chuan How (kanan).
Saarani (tengah) bersama pemimpin DAP negeri, Dr Abdul Aziz Bari (kiri) dan Howard Lee Chuan How (kanan).
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Barisan Nasional (BN) Perak bersetuju menjalinkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan negeri baharu Perak.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, persetujuan antara dua gabungan parti itu telah disembah maklum kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta di sini pada Isnin.

Menurutnya, dalam pertemuan yang berlangsung selama kira-kira satu jam itu, beliau mewakili BN dan Dr Abdul Aziz Bari selaku Naib Pengerusi DAP sebagai wakil PH.

"Semasa menghadap itu, kedua dua kami telah menyembah maklum kepada tuanku bahawa kedua-dua parti bersetuju untuk menubuhkan kerajaan bersama iaitu kerajaan BN dan PH," katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.

Bekas Menteri Besar Perak itu berkata, dengan persetujuan itu menjadikan PH dan BN kini mempunyai kerusi yang mencukupi bagi membentuk kerajaan sesuai dengan Undang-undang Tubuh Negeri.

Saarani bagaimanapun enggan mengulas lanjut calon Menteri Besar yang akan dikemukakan bagi mewakili gabungan berkenaan.

"Itu tidak boleh komen buat masa ini, setelah tuanku perkenan nanti, baru kita boleh ulas," katanya.

Kerjasama itu bakal menyaksikan gabungan berkenaan mempunyai 33 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu majoriti mudah daripada keseluruhan 59 kerusi bagi membentuk kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang diumum pada Sabtu menyaksikan PH berjaya menenangi 24 kerusi dan BN sembilan kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) mendapat 26 kerusi.

Selepas PRU14 lalu, pentadbiran kerajaan Perak yang diwakili 59 kerusi DUN telah bertukar sebanyak tiga kali.

Kerajaan bersilih ganti dalam penggal yang sama disebabkan krisis parti menyebabkan berlakunya hilang sokongan dan majoriti dalam DUN.

PH terdiri Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menang di 29 kerusi mendapat mandat membentuk kerajaan selepas memperolehi majoriti mudah 31 kerusi DUN.

Mandat itu diperoleh setelah dua pemenang kerusi DUN BN memilih untuk menyertai PH sekali gus bersetuju atas pelantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu daripada Bersatu sebagai menteri besar.

Pada Mac 2020, kerajaan PH yang terbentuk pada Mei 2018 tumbang selepas 32 ADUN bersetuju membentuk kerajaan baharu hasil gabungan wakil rakyat UMNO (25 kerusi), Pas (3 kerusi) dan Bersatu (4 kerusi).

Gabungan tiga parti di bawah Perikatan Nasional (PN) itu masih mengekalkan Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang sebagai menteri besar.

Bagaimanapun, selepas kira-kira sembilan bulan, politik Perak pada Disember 2020 kembali bergolak apabila Ahmad Faizal gagal melepasi usul 'undi percaya' terhadap kepemimpinannya yang dikemukakan dalam Sidang DUN.

Daripada 59 ADUN, 10 menyokong usul itu manakala 48 lagi menolaknya dan satu undi rosak menerusi undi sulit diputuskan Speaker DUN, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid.

Kemelut politik itu kemudiannya menyaksikan BN kembali menerajui kepimpinan kerajaan negeri dengan melantik Saarani yang juga ADUN Kota Tampan daripada UMNO sebagai menteri besar.

Pemilihan jawatan utama kerajaan negeri itu diselesaikan dengan hampir seminggu siri perbincangan dibuat membabitkan pelbagai parti sebelum persepakatan dicapai antara BN, Bersatu dan Pas.