Lapan kertas siasatan libat kakitangan kerajaan Pulau Pinang

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka lapan kertas siasatan terhadap kakitangan kerajaan negeri sepanjang tempoh antara 2020 hingga 2022.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kertas siasatan tersebut adalah berkaitan dengan kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

Menurutnya, Kerajaan Pulau Pinang terbuka dalam menerima sebarang siasatan berkaitan jenayah rasuah dan salah guna kuasa melibatkan kakitangan kerajaan negeri.

"Sebarang bentuk kesalahan akan disiasat oleh agensi penguatkuasaan dan disabitkan kesalahan oleh pihak pendakwaan.

"Bagi siasatan yang melibatkan kakitangan kerajaan negeri, Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT) boleh mengambil tindakan mengikut Peraturan 44, Peraturan-Peraturan Penjawat Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 atau Peraturan-Peraturan Penjawat Awam (Kelakuan dan Tatatertib) (Pulau Pinang) 1997 bagi tujuan penahanan kerja sekiranya melibatkan prosiding jenayah.

"Dalam tempoh penahanan kerja di bawah peraturan ini, seseorang pegawai berhak, melainkan jika dan sehingga pegawai itu digantung kerja atau dibuang kerja, untuk menerima tidak kurang daripada setengah emolumennya seperti yang difikirkan patut oleh PBT yang berkenaan," katanya dalam sesi soalan lisan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ke-14 pada Isnin.

Kon Yeow (DAP-Padang Kota) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Mohd Yusni Mat Piah (Pas-Penaga) berhubung jumlah kes yang disiasat SPRM melibatkan Exco, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan kakitangan kerajaan negeri.

Mohd Yusni turut mengutarakan soalan berhubung tindakan kerajaan negeri terhadap mereka yang masih dalam siasatan.

Artikel Berkaitan:

Jelas Kon Yeow, kerajaan negeri telah dan akan mengambil tindakan terhadap semua Laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia setelah laporan lengkap diterima daripada SPRM berhubung salah laku melibatkan Exco, ADUN dan kakitangan kerajaan negeri sekiranya kes tersebut tidak disabitkan kesalahan di peringkat mahkamah.

"Kerajaan negeri tidak akan menyembunyikan sebarang maklumat berkaitan laporan SPRM," kata beliau.

Kon Yeow berkata lagi, penjawat awam yang terlibat dengan kes menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa dan membuat tuntutan palsu perlu disiasat dan didakwa sewajarnva.

"Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang pada 30 September lalu telah mengeluarkan kenyataan akhbar secara terbuka bagi menerima sebarang bentuk siasatan berkaitan jenayah rasuah melibatkan peniawat awam di Pulau Pinang.

"la adalah selari dengan prinsip cekap, akauntabiliti dan telus (CAT) yang diamalkan sejak 2008 dan tiada yang terkecuali daripada undang-undang," katanya.

Dalam masa sama katanya, kerajaan negeri meminta SPRM telus dalam menyatakan bilangan kes yang didakwa di mahkamah serta jumlah penjawat awam yang didapati bersalah.

"Kerajaan negeri meminta ketelusan SPRM bagi memastikan imej kerajaan negeri dan penjawat awam di Pulau Pinang tidak tercalar, hanya disebabkan jumlah aduan yang diterima sejak 2019," katanya.