1,030 kemalangan direkod di Pulau Pinang sepanjang Op Selamat

Mohd Shuhaily - Foto Bernama
Mohd Shuhaily - Foto Bernama
A
A
A

GEORGETOWN - Sebanyak 1,030 kemalangan jalan raya direkodkan di Pulau Pinang sepanjang Op Selamat ke-20 yang bermula 20 hingga 27 April lepas iaitu meningkat 3 peratus atau 1,001 kemalangan berbanding Op Selamat tahun lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, manakala kemalangan maut pula merekodkan penurunan 67 peratus iaitu sebanyak tiga kes direkodkan pada Op Selamat kali ini iaitu berbanding Op Selamat tahun lepas iaitu sembilan kes.

"Polis Pulau Pinang mengeluarkan sebanyak 4,570 saman kerana pelbagai kesalahan lalu lintas pada Op Selamat kali ini iaitu menurun sebanyak 71 peratus atau 15,603 saman berbanding Op Selamat tahun lalu.

"Pendekatan dalam pelaksanaan Op Selamat kali ini menunjukkan kejayaan dalam memastikan kelancaran aliran lalu lintas di jalan utama ditangani dengan lebih cekap dan berkesan," katanya kepada pemberita selepas Program Walkabout Pencegahan Jenayah di Pasar Jelutong di sini pada Rabu.

Program bertemu orang ramai bagi memaklumkan pencegahan jenayah dan mengedarkan risalah itu turut disertai Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lanchang, Ong Ah Teong.

Sementara itu, Mohd Shuhaily berkata, pihaknya telah menjalankan tindakan penguatkuasaan trafik secara menyeluruh membabitkan undang-undang dan peraturan jalan raya bagi membendung salah laku pengguna jalan raya bermula 1 Mei.

Beliau berkata, berdasarkan dua fasa pertama itu pihaknya mendapati keberkesanan penguatkuasaan tersebut yang pengguna lebih sedar mengenai peraturan jalan raya.

"Sebelum ini ada yang tidak tahu bahawa mereka perlu berhenti sebelum berada di garisan putih pada lampu isyarat, sekarang ini kami dapati ramai yang sudah sedar mengenainya malah kami harap penguatkuasaan seperti ini dapat diterapkan dari peringkat sekolah,'' katanya. - Bernama