GRS sokong Muhyiddin sebagai PM

Hajiji Noor - Bernama Photo
Hajiji Noor - Bernama Photo
A
A
A

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil keputusan untuk menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-10 dan seterusnya membentuk kerajaan Persekutuan bersama Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pertemuannya dengan Muhyiddin sebagai pengerusi PN itu telah berlangsung pada Ahad.

"Saya telah mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin semalam (20 November 2022). GRS berpandangan adalah perlu pembentukan Kerajaan Persekutuan dilaksanakan pada kadar segera untuk memastikan kerajaan dapat berfungsi sepenuhnya khususnya dalam memuktamadkan penggubalan belanjawan untuk tahun 2023.

"GRS mengambil keputusan untuk menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ke-10 dan bersetuju membentuk kerajaan Persekutuan bersama PN dan parti dari Sarawak iaitu GPS serta parti-parti lain yang bersedia untuk membentuk kerjasama," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Ketua Menteri Sabah itu turut berkata, GRS sentiasa komited untuk membawa citra kesatuan demi kepentingan rakyat dan tanah air.

Sebelum itu, Hajiji dalam sidang akhbar pada awal pagi Sabtu lalu menyatakan bahawa kerajaan Sabah dan Sarawak sepakat untuk menyokong kerajaan yang bakal dibentuk di peringkat Persekutuan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dilaporkan bersetuju untuk membentuk gabungan bersama PN, Barisan Nasional (BN) dan GRS bagi membentuk kerajaan Persekutuan.

Artikel Berkaitan: