Kerajaan BN-PH: Ahli, pimpinan UMNO perlu tentang Ahmad Zahid

Muhammad Sanusi (tengah) menghadiri Majlis Kesyukuran Perikatan Nasional (PN) Kedah di Kompleks Pas Kedah di Kota Sarang Semut, di sini, pada Ahad.
Muhammad Sanusi (tengah) menghadiri Majlis Kesyukuran Perikatan Nasional (PN) Kedah di Kompleks Pas Kedah di Kota Sarang Semut, di sini, pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR - Ahli dan pimpinan UMNO diminta membuat desakan terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya tidak meneruskan hasrat membentuk kerajaan bersama Pakatan Harapan (PH).

Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ahli UMNO sendiri perlu menentang tindakan Ahmad Zahid yang cuba mengheret kesemua 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk bersama PH.

"Difahamkan, mesyuarat biro politik yang dihadiri Ahmad Zahid telah memutuskan kesemua 30 ahli parlimen BN itu perlu berpakat dengan PH bagi membentuk kerajaan.

"Namun, ramai dalam kalangan ahli Parlimen berkenaan tidak bersetuju walaupun itu keputusan biro politik yang dipaksakan ke atas mereka," katanya.

Muhammad Sanusi berkata sedemikian ketika berucap pada Majlis Kesyukuran Perikatan Nasional (PN) Kedah di Kompleks Pas Kedah di Kota Sarang Semut, di sini, pada malam Ahad.

Menurut beliau, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang terdiri daripada badan tertinggi dalam parti itu difahamkan sepatutnya mengadakan mesyuarat selepas mesyuarat biro politik.

"Tetapi ia dibatalkan kerana dia tahu jika perkara ini dibawa ke mesyuarat itu, MKT akan membatalkan keputusan biro politik," katanya.

Muhammad Sanusi mendakwa, Ahmad Zahid dalam apa keadaan sekali pun mahu memastikan dirinya terselamat daripada kes-kes mahkamah seperti dijanjikan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Artikel Berkaitan:

"Dia (Ahmad Zahid) mahu 30 ahli Parlimen BN itu menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri. Saya minta ahli dan pemimpin UMNO seluruh negara untuk melihat tsunami melanda dan penolakan PH di negeri-negeri yang mana UMNO menjadi parti teras sejak sekian lama," katanya.

Menurut beliau, sebahagian daripada pengundi yang memberi sokongan kepada PN untuk meraih kemenangan besar adalah ahli UMNO sendiri yang tidak mahu melihat parti itu jauh tersasar di bawah Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid sedang mengheret ahli Parlimen UMNO untuk melanggar ketetapan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) iaitu ‘No Anwar, No DAP’.Jadi, ahli UMNO di seluruh negara perlu menyatakan bantahan kepada tindakan presiden UMNO sekarang ini yang membawa parti itu menyokong Anwar, DAP, PKR dan Amanah menubuhkan kerajaan di negara ini.

"Bahaya fahaman-fahaman dikendong perjuangan mereka sudah disebut banyak kali sebelum ini. Jikalau ahli-ahli UMNO terus merestui tindakan presiden mereka untuk memaksa ahli Parlimen BN menubuhkan kerajaan bersama PH, maknanya mereka akan jadi pengkhianat terbesar dalam sejarah umat Islam di negara ini,” katanya.