BN boleh jadi rakan mesra mana-mana gabungan: Noraini

Noraini Ahmad
Noraini Ahmad
A
A
A

JOHOR BAHRU - Barisan Nasional (BN) boleh menjadi rakan mesra dalam mana-mana gabungan politik sekiranya diperlukan untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan.

Pengerusi Wanita BN, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan, tiada mana-mana gabungan politik yang berjaya mendapat majoriti mudah, 112 kerusi bagi membentuk kerajaan.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO berkata, berbekalkan 30 kerusi Parlimen yang dimenangi, BN wajar untuk terus berada di dalam blok pembangkang.

"Namun BN boleh menjadi rakan mesra dalam mana-mana gabungan politik sekiranya diperlukan untuk menubuhkan kerajaan.

"Keputusan menjadi rakan mesra parti kerajaan juga perlu dibuat secara bersyarat di mana BN diberi kebebasan dalam berbahas, sokong atau tolak sebagai blok neutral (semak dan imbang) bagi apa sahaja usul yang dibentang atau dicadang oleh kerajaan," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Bekas Menteri Pengajian Tinggi dan Ahli Parlimen Parit Sulong itu turut meminta BN tidak meruntuhkan mana-mana gabungan politik kerajaan yang sudah terbentuk sehingga Parlimen dibubarkan.

"Selagi mana gabungan politik tersebut masih menjunjung tinggi semangat perlembagaan dan kestabilan politik negara.

"Keputusan yang telah dibuat oleh rakyat perlu dihormati. Tumpuan utama perlu diberikan untuk memulihkan sokongan rakyat terhadap BN semula pada masa akan datang," katanya.

Artikel Berkaitan: