Anwar keluar kediaman, dijangka bertemu pemimpin BN

Anwar sempat melambai kepada media sebelum meninggalkan kediamannya di Kuala Lumpur pada Isnin.
Anwar sempat melambai kepada media sebelum meninggalkan kediamannya di Kuala Lumpur pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kenderaan jenis BMW berwarna hitam dilihat membawa Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim keluar dari kediamannya kira-kira jam 10.04 pagi tadi.

Ketika ditanya tujuan, beliau maklumkan hanya ingin 'makan angin'.

"Makan angin," katanya ringkas kepada media.

Difahamkan satu perjumpaan antara pemimpin PH dan BN akan berlangsung jam 10 pagi di sebuah hotel di ibu negara pada Isnin.

Memetik laporan sebuah portal berita, beberapa sumber daripada gabungan itu mengesahkan akan ada pertemuan pada pagi ini, namun enggan mendedahkan tujuan ia diadakan.

Berdasarkan keputusan rasmi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), tiada mana-mana gabungan parti berjaya memperoleh majoriti 50 peratus daripada 219 kerusi Parlimen yang dipertandingkan untuk membentuk kerajaan.

Anwar bagaimanapun menegaskan bahawa PH mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu yakin beliau akan diberi peluang untuk menjadi Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan:

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melalui kenyataannya pada Ahad memaklumkan PH berjaya memenangi sebanyak 82 kerusi di Parlimen dalam PRU15.

Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan ketua-ketua parti politik yang mempunyai majoriti terbanyak mengemukakan gabungan baharu dan calon Perdana Menteri kepada Istana Negara sebelum jam 2 petang, Isnin.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Istana Negara telah menerima dokumen keputusan rasmi PRU15 daripada SPR pada jam 1.15 tengah hari, pada Ahad.

Ujarnya, berdasarkan dokumen yang dikemukakan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh jelas menyatakan bahawa tiada parti politik berjaya memperoleh majoriti mudah kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.