219 kertas siasatan dibuka pada hari mengundi PRU15

Hazani Ghazali
Hazani Ghazali
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka sebanyak 219 kertas siasatan pada hari pembuangan undi sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di seluruh negara pada Sabtu.

Pengarah Operasi PRU15 PDRM, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, kertas siasatan dibuka melibatkan pelbagai kesalahan iaitu sebanyak 56 kes di Selangor, Pulau Pinang (28), Perak (25), Johor (23), Kedah (16), Melaka (13), Kelantan (13), Pahang (11), Sarawak (8), Terengganu (7), Perlis (6) dan Kuala Lumpur (satu).

"Kertas-kertas siasatan itu dibuka mengikut Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998, Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954 dan Akta Bahan Letupan 1957.

"Selain itu, kami turut menahan lima lelaki membabitkan kes yang dilaporkan di Negeri Sembilan dan Selangor semalam," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Hazani berkata, antara individu ditahan membabitkan satu kes menimbulkan kekecohan dengan menjatuhkan peti undi di Hulu Yam, Selangor dan tiga individu bermain mercun di dua pusat pengundian di Seremban serta Port Dickson di Negeri Sembilan.

"Satu lagi tangkapan membabitkan seorang lelaki menghalang penjawat awam melakukan tugas serta kesalahan berada di tempat pengiraan undi berhampiran Dewan Majlis Bandaraya Seremban," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 501 kertas siasatan dibuka melibatkan 3,355 laporan yang diterima sepanjang tempoh berkempen di seluruh negara dan 137 kes sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

"Selain itu, tujuh lagi kertas siasatan diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) dengan lima kes sudah dituduh di mahkamah, manakala tiga lagi kes sudah dijatuhkan hukuman sepanjang tempoh berkenaan," katanya.

Artikel Berkaitan: