PRU15: Shahril umum berundur, minta Zahid ikut jejak

Shahril Hamdan (kiri) dan Ahmad Zahid
Shahril Hamdan (kiri) dan Ahmad Zahid
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan mengumumkan perletakan jawatannya bagi mengambil tanggungjawab di atas kekalahan BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pada masa sama, beliau turut menggesa agar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut berundur secara terhormat bagi mengambil tanggungjawab kekalahan ini.

"Saya sependapat dengan Menteri Besar Johor (Datuk Onn Hafiz Ghazi) iaitu tanpa mengurangkan hormat kepada beliau sebagai individu, saya berpandangan bahawa pemimpin nombor satu (Presiden UMNO dan Pengerusi BN) perlu memaparkan contoh dengan memimpin proses mengambil tanggungjawab kekalahan ini dengan berundur secara terhormat.

"Biar kepimpinan dan individu lain memimpin perbincangan membuat keputusan besar seterusnya untuk parti ini.

"Atas semangat 'collective responsibility' itu, saya juga meletakkan jawatan selaku Ketua Penerangan UMNO Malaysia.

"Saya menghargai peluang yang telah diberikan dan tidak akan melupakannya. Cuma, ini soal maslahat yang jauh lebih besar," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Jelas Shahril, keputusan besar sebegitu memang perlu dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan bukannya mana-mana individu atau kelompok sahaja.

Namun katanya, sebelum parti hendak berbincang atau membuat apa-apa keputusan, ada satu perkara yang perlu dilaksanakan dahulu.

Artikel Berkaitan:

"Benar, ada konsep 'collective responsibility' dalam sesuatu kegagalan.

"Benar, UMNO perlu mempertimbang apa langkah seterusnya dalam situasi tiada pihak mencapai angka 112 dalam PRU15.

"Seperti ramai yang lain, saya kekal setia bersama UMNO. Perjuangan parti belum selesai. 'This is not the end'," jelasnya.

Sementara itu di Kuala Terengganu, Exco Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, UMNO menjadi korban akibat tindakan pemimpin atasan yang mahu menjadikan parti itu sebagai tebusan.

Justeru katanya, Ahmad Zahid perlu berundur secara bermaruah ekoran kekalahan teruk BN dalam PRU15.

Jelas beliau, tindakan melabel pandangan berbeza sebagai pengkhianat selama ini sudah tidak boleh diterima kepimpinan bawahan parti berkenaan.

"Saya amat sedih. Lebih sedih kerana segala kebaikan yang dilakukan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) seolah-olah tidak bermakna di mata rakyat.

"Hanya kerana rakyat tidak bersetuju dengan tindakan sesetengah pemimpin yang rakus dan ego. Ke mana hala tuju kita selepas ini? Jajaran Baharu?," katanya dalam kenyataan disini, pada Ahad.

Jelas beliau, Presiden UMNO yang disifatkan sebagai liabiliti kepada parti itu juga perlu bertangunggjawab atas kekalahan BN pada PRU15.

Malah katanya, kekalahan itu lebih teruk berbanding PRU14.

"Baik-baik jadi kerajaan sibuk desak nak PRU15 dan ditambah dengan strategi yang lagi menjahanamkan lagi kawasan putih BN.

"Berundurlah wahai Presiden UMNO dengan bermaruah supaya tiada ruang untuk kerjasama UMNO dan Pakatan Harapan (PH).

"Terimalah hakikat rakyat tidak suka pada Presiden UMNO. Pentaksub sahaja yang masih tidak mahu menerima kenyataan ini," kata beliau.