PRU15: Tindakan Ku Li bawa tuah kepada PN di Gua Musang

Mohd Azizi (tiga dari kiri) bersama penyokong PN di Parlimen Gua Musang.
Mohd Azizi (tiga dari kiri) bersama penyokong PN di Parlimen Gua Musang.
A
A
A

GUA MUSANG - Tindakan Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li memilih berada diblok bebas membawa tuah kepada Perikatan Nasional (PN) apabila berjaya 'merobohkan' kubu kuat BN di Parlimen Gua Musang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Datuk Mohd Azizi Abu Naim yang baharu diberi mandat sebagai Ahli Parlimen baharu berkata, tindakan Ku Li berbuat demikian seakan-akan menafikan hak rakyat Gua Musang.

"Ahli Parlimen yang sepatutnya duduk diblok kerajaan tetapi memilih untuk berada diblok pembangkang, itu antara faktor penolakan terhadap BN pada PRU15 kali ini.

"Kami (PN) mewujudkan gelombang pembaharuan dengan menguar-uarkan pada rakyat untuk menolak kepimpinan Ku Li," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Beliau yang merupakan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Gua Musang berkata, rakyat sudah lama inginkan perubahan di Gua Musang dan sehingga sekarang sepanjang pemerintahan di bawah BN ia tidak berlaku.

Ujarnya, sebagai permulaan selepas diberi mandat oleh rakyat, beliau akan mengenal pasti keperluan serta kemudahan infrastruktur yang diperlukan di sini.

Tambah Mohd Azizi, dengan itu beliau akan berhubung dengan semua agensi kerajaan bagi merealisasikan perkara tersebut.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kemenangannya di Parlimen tersebut adalah rezeki buatnya serta rakyat Gua Musang.

Artikel Berkaitan:

"Syukur Alhamdulillah, bukan mudah untuk menang di kubu kuat BN ini namun peluang yang diberikan oleh rakyat tidak akan dipersiakan," katanya.

Mohd Azizi mewakili PN menang majoriti tipis iaitu hanya 163 undi sahaja mengalahkan bekas penyandang, Ku Li (BN).

Beliau memperolehi 21,826 undi manakala Ku Li 21,663, Asharun Uji (PH) 4,517 dan Datuk Dr Samsu Adabi Mamat (GTA) 371.