Debaran di Pusat Media Utama PN kian kencang

Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tiba di Pusat Media Utama Perikatan Nasional (PN) di Glenmarie Hotel & Golf Resort, Shah Alam. - Foto Sinar Harian/ Rosli Talib
Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tiba di Pusat Media Utama Perikatan Nasional (PN) di Glenmarie Hotel & Golf Resort, Shah Alam. - Foto Sinar Harian/ Rosli Talib
A
A
A

SHAH ALAM - Debaran sama ada Perikatan Nasional (PN) berjaya mencipta sejarah memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) makin kencang apabila pemimpin utama parti itu mula berkampung di Pusat Media Utama PN, di sebuah hotel di sini, malam Sabtu.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba pada jam 9.15 malam bagi mengikuti perkembangan terkini keputusan PRU15.

Bagaimanapun, ketibaan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu tidak dapat dirakam media kerana beliau memasuki hotel bukan menerusi pintu utama tempat media berkumpul.

Sebelum itu, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tiba pada jam 8.30 malam.

Pemimpin yang paling awal tiba adalah Presiden Gerakab Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.

Kira-kira 100 petugas media mula berkumpul di Pusat Media Utama PN seawal jam 4 petang bagi melaporkan perkembangan terkini keputusan PRU15 bagi gabungan parti berkenaan.

Sebanyak 180 kerusi Parlimen ditandingi PN dalam PRU15 kali ini dengan 149 calon menggunakan logo PN, 22 logo Pas (di Kelantan dan Terengganu) dan sembilan logo Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Solidariti Tanah Airku (Star) serta Bersatu (Sabah).

Setakat jam 9.25 malam ini, keputusan tidak rasmi PRU15 menyaksikan Pakatan Harapan (PH) mendahului dengan 48 kerusi diikuti PN 28 kerusi manakala BN memperoleh 17 kerusi.

Artikel Berkaitan:

Pada 6 November lalu, PN dilaporkan akan mengisytiharkan cuti umum sekiranya memenangi PRU15.

Kata Muhyiddin, cuti umum itu adalah pada Ahad bagi Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor dan pada Isnin bagi negeri lain.