Golongan susah tidak dipinggir malah dibantu

Abdullah Sani (kanan) ketika menjadi panelis Program Sinar Live bertajuk Kapar Bukan Anak Tiri di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kapar pada Khamis.
Abdullah Sani (kanan) ketika menjadi panelis Program Sinar Live bertajuk Kapar Bukan Anak Tiri di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kapar pada Khamis.
A
A
A

KAPAR - Calon Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid memberi jaminan golongan susah tidak akan dipinggirkan malah dibantu untuk meneruskan kehidupan.

Beliau yang merupakan calon Pakatan Harapan (PH) berkata, ia adalah suatu prinsip dan tanggungjawab untuk membantu golongan yang memerlukan di Kapar.

“Percayalah pada saya, masuk pejabat saya, mereka keluar tidak akan menangis. Mereka akan senyum untuk teruskan kehidupan.

”Sesiapa pun yang datang...mereka memerlukan bantuan tidak kira Melayu, Cina dan India. Bagi tanggungjawab itu pada saya untuk berikan (beri khidmat) pada rakyat,” katanya.

Abdullah Sani berkata demikian ketika menjadi panelis Program Sinar Live bertajuk Kapar Bukan Anak Tiri di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kapar pada Khamis.

Calon Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid
Calon Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid

Program itu yang dikendalikan oleh Hazwan Mokhtar disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian pada Khamis.

Beliau menambah setiap kerja yang dibuat itu kerana ALLAH SWT.

Artikel Berkaitan:

“Saya buat itu kerana merasai derita rakyat dan rakyat melihat apa saya lakukan. Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tiap-tiap minggu kita bagi bungkusan makanan.

“Sebanyak 11,000 bungkusan makanan diaturkan di seluruh Kapar dan beri bantuan pada mereka yang memerlukan (angkat bendera putih).

“Pantang dilihat berlakunya bencana kita akan turun malah mereka yang susah tidak akan dipinggirkan,”jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai tahap keyakinan untuk menambat hati pengundi, beliau serahkan segala-galanya pada ALLAH SWT.

“Menang, kalah itu kuasa mutlak-NYA. Kita berusaha dan berdoa, itu yang mampu saya lakukan,” jelasnya.