PRU15: Isu pendidikan, sosioekonomi fokus Kak Gee

Rozieana (kanan) mendekati pengundi dalam kawasan DUN Guar Sanji dengan berkunjung dari rumah ke rumah.
Rozieana (kanan) mendekati pengundi dalam kawasan DUN Guar Sanji dengan berkunjung dari rumah ke rumah.
A
A
A

ARAU - Isu pendidikan terutamanya berkaitan masalah menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) dalam kalangan murid Tahap Satu menjadi fokus utama dalam manifesto calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Guar Sanji, Rozieana Ahmad.

Rozieana yang mesra dengan panggilan Kak Gee berkata, isu pendidikan menjadi keutamaannya kerana masih ramai murid dan pelajar yang tercicir dalam pelajaran impak daripada penularan wabak Covid-19.

“Manifesto saya lebih ke arah pendidikan. Saya tidak mahu pelajar sekolah terutama murid Tahap Satu terus menjadi mangsa berterusan Covid-19. Ada yang masih buta huruf dan gagal mengikut trek pembelajaran yang sepatutnya.

“Menyentuh isu masyarakat setempat di Guar Sanji yang rata-ratanya adalah pesawah, saya akan berusaha membantu menyelesaikan masalah padi tenggelam terutama pada musim hujan. Sistem pengairan air di kawasan sawah perlu dinaik taraf.

“Pada masa sama, saya juga mahu membantu pesawah yang mempunyai masalah pengairan air yang jauh dari sawah mereka pada musim kemarau. Jika masalah infrastruktur ini dapat diselesaikan, saya yakin hasil pertanian pesawah di sini menjadi lebih baik,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Rozieana yang merupakan bekas Exco Pendidikan, Pembangunan Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) berpindah daripada kerusi DUN Pauh ke Guar Sanji berdepan saingan Mohd Ridzuan Hashim (Perikatan Nasional); Abdul Malik Abdullah (Pejuang) dan Hasparizal Hassan (Pakatan Harapan).

Dalam perkembangan sama, Rozieana berkata, beliau memberi tumpuan untuk memperkasa ekonomi digital dalam kalangan penduduk setempat sebagai usaha meningkatkan sosioekonomi di kawasan berkenaan.

“Kita ada banyak Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia atau PEDi yang boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan ekonomi penduduk di Guar Sanji dan Perlis secara amnya.

Artikel Berkaitan:

“Banyak produk dalam kawasan ini seperti kraftangan dan produk makanan berpotensi untuk dipasarkan ke luar. Saya mahu penduduk dalam kawasan ini untuk memasarkan produk mereka walaupun tidak mempunyai kedai,” katanya.