Kerajaan fokus beberapa keutamaan tangani isu kritikal tahun ini

Fahmi menyampaikan ucaptama pada Forum Angkasa Antarabangsa Langkawi (LISF) 2023 pada Rabu. - Foto Bernama
Fahmi menyampaikan ucaptama pada Forum Angkasa Antarabangsa Langkawi (LISF) 2023 pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

LANGKAWI - Kerajaan Malaysia akan memfokus kepada beberapa keutamaan yang memainkan peranan penting dalam menangani isu kritikal seperti ketidaktentuan ekonomi, bencana alam dan kualiti hidup rakyat pada tahun ini.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, kesemua keutamaan itu termasuk membangunkan model pencegahan bagi bencana alam, kesihatan dan keterjaminan makanan, sistem untuk merapatkan jurang antara masyarakat luar bandar dan bandar serta inisiatif inovasi sosial dalam usaha menambah baik kehidupan rakyat berpendapatan rendah.

Beliau berkata, antara alat paling penting dalam menangani kesemua cabaran ialah penggunaan teknologi angkasa.

"Walaupun sesetengah orang mungkin bimbang mengenai hala tuju teknologi maju termasuk peningkatan potensi ke arah kemusnahan bumi, teknologi angkasa bukan sahaja mampu membawa manfaat ketara yang besar dalam pelbagai bidang kehidupan tetapi juga telah memperdalam pemahaman mengenai apa yang dianggap sebagai intipati kemanusiaan.

"Kemajuan dalam teknologi angkasa sudah pasti akan mengubah realiti fizikal pada abad berikutnya dan mungkin memastikan kelangsungan hidup manusia," katanya dalam ucaptama di Forum Angkasa Antarabangsa Langkawi (LISF) 2023 sempena penganjuran Pameran Maritim dan Angkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA'23) di sini pada Rabu.

Beliau berkata, Malaysia tidak mahu ketinggalan dalam perkembangan teknologi angkasa sebagai sebahagian daripada pembangunan negara secara keseluruhan.

Fahmi berkata, seperti yang digariskan dalam program Eksplorasi Angkasa Malaysia 2030 (MSE2030), sektor angkasa lepas dijangka menyumbang sehingga RM10 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar menjelang 2030 melalui pelaksanaan Pelan Tindakan Dasar Angkasa Negara 2030.

Beliau berkata, kesemua keutamaan ini adalah selaras dengan rancangan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi menjelang 2030.

Fahmi berkata, bagi menjayakan usaha kerajaan untuk menjadikan angkasa sebagai sumber ekonomi baharu negara, Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2020 telah diwartakan pada 25 Januari 2022 dan berkuat kuasa secara separa pada 4 Ogos dengan matlamat ia dikuatkuasakan sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.

"Ini membuktikan Malaysia memiliki ekosistem angkasa yang sanggup menyokong bukan sahaja program kerajaan tetapi yang lebih penting, pemain domestik dalam industri swasta dan rakan kongsi antarabangsa mereka," katanya.

Fahmi berkata, hasilnya, kita akan dapat menarik lebih banyak syarikat domestik dan antarabangsa dalam bidang angkasa untuk melabur serta menjalankan perniagaan di Malaysia termasuk operasi pelancaran satelit.

"Kami percaya ekosistem angkasa yang kondusif dan disokong oleh undang-undang negara amat penting kerana ia membina keyakinan pelabur dengan menyediakan peraturan serta syarat jelas bagi aktiviti yang ingin mereka ceburi," katanya.

LISF adalah acara yang berlangsung selama dua hari bertujuan memberi penekanan terhadap kepentingan sains dan teknologi angkasa untuk pembangunan serantau yang mampan di Asia Tenggara.

Tumpuan teras acara itu berkisar kepada ekonomi Angkasa Baharu, penggunaan teknologi angkasa secara aman dan pendemokrasian akses kepada angkasa. - Bernama