PRU15: Tawaran, diskaun lebih menarik jika diberi mandat

Rosol (dua dari kiri) berbual dengan peniaga ketika Program Jualan Keluarga Malaysia di Kampung Batu Hampar pada Khamis.
Rosol (dua dari kiri) berbual dengan peniaga ketika Program Jualan Keluarga Malaysia di Kampung Batu Hampar pada Khamis.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) wajar meneruskan program berorientasikan rakyat seperti Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) yang telah dimulakan sejak Disember 2021.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, kementerian boleh mempertimbangkan untuk mengadakan program itu dengan tawaran yang lebih menarik dan kadar diskaun lebih baik pada masa akan datang.

“Sebenarnya sebelum JMKM yang dikenali sebagai Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) diadakan, saya terlebih dahulu sudah melaksanakan program jualan murah dikenali sebagai Prihatin Mart di daerah-daerah Hulu Terengganu merangkumi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada setiap minggu.

“Dengan menawarkan jualan murah sehingga 30 peratus, ia mendapat sambutan luar biasa. Awalnya, kita (Pejabat Parlimen Hulu Terengganu) belanja RM5,000 seminggu untuk diskaun 30 peratus ini.

"Apabila melihat kepada sambutan itu, saya ‘angkat’ (mohon) kepada pusat (kementerian) dan Alhamdulillah kerajaan bersetuju untuk laksanakan PJKM (kini JMKM),” katanya ketika ditemui media pada Program Jualan Keluarga Malaysia di Kampung Batu Hampar, Manir di sini pada Khamis.

Rosol berharap program yang berpaksikan kepada rakyat itu dapat diteruskan bagi memberi manfaat kepada golongan sasar terutama keluarga yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan harga lebih murah.

“Harapan saya supaya program ini akan diteruskan dan jika saya diberi mandat (menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15), insya-ALLAH saya berjanji untuk buat lebih hebat lagi daripada apa yang telah dilakukan sekarang dengan tawaran menarik dan diskaun yang lebih memberangsangkan,” katanya yang juga calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Hulu Terengganu.

Berhubung program itu, Rosol berkata, lebih 600 lokasi melibatkan DUN di seluruh Malaysia telah diadakan sejak ia bermula dan pelaksanaannya telahpun mencapai 100 peratus di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

“Di daerah Hulu Terengganu, semua daerah kita dah buat, Alhamdulillah,” katanya.