PRN: Bibi Sharliza tak tolak jika diberi peluang bertanding

Bibi Sharliza (tiga dari kiri) dan Mohd Isa (dua dari kiri) beramah mesra dengan orang ramai yang datang ke rumah terbuka mereka di Kampung Baru, Port Dickson.
Bibi Sharliza (tiga dari kiri) dan Mohd Isa (dua dari kiri) beramah mesra dengan orang ramai yang datang ke rumah terbuka mereka di Kampung Baru, Port Dickson.
A
A
A

PORT DICKSON - Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid tidak menolak sekiranya diberi peluang untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, beliau menyerahkan perkara itu kepada pucuk pimpinan parti untuk membuat keputusan.

Menurutnya, apa yang penting ada kerusi untuk calon wanita UMNO di negeri itu memandangkan mereka tidak diberikan sebarang kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

"Kita bukan sekadar nak wanita dijadikan jentera parti saja, tapi kita nak wanita dijadikan sebagai pemimpin yang boleh diketengahkan pada masa hadapan.

"Saya yakin ramai wanita UMNO di Negeri Sembilan yang berpotensi untuk diketengahkan sebagai calon," katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri bersama suami, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad di kediamannya di Kampung Baru, di sini pada Isnin.

Namun beliau berharap mereka dapat diberikan kerusi yang berpotensi boleh menang dan bukannya sekadar cukup syarat saja.

Selain itu katanya, wanita UMNO Negeri Sembilan telah pun memulakan gerak kerja bagi menghadapi PRN akan datang sekaligus bagi memastikan kemenangan parti itu dapat dipertahankan di 16 kerusi Dewan Undangan Negeri(DUN).

"Di Negeri Sembilan ini, Insya-Allah kita tiada masalah sangat kerana semua 36 kerusi DUN bawah Kerajaan Perpaduan.

"Persefahaman itu dah wujud dari awal lagi dan ia lebih mudah buat kita," katanya.

Pada PRU14, wanita UMNO Negeri Sembilan diberi kepercayaan bertanding di kerusi DUN Pilah dengan mempertaruhkan ketuanya, Datuk Norhayati Omar, namun beliau tewas dengan Mohamad Nazaruddin Sabtu daripada PKR dengan majoriti 3,837.