PRU15: Waspada berita palsu di media sosial

Annuar bercakap kepada pemberita semasa majlis Sekalung Budi MenKOMM di Kementerian Komunikasi dan Multimedia hari ini. - Foto Bernama
Annuar bercakap kepada pemberita semasa majlis Sekalung Budi MenKOMM di Kementerian Komunikasi dan Multimedia hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Orang ramai diminta berwaspada dengan setiap maklumat yang diterima di media sosial kerana wujud tindakan menyebarkan berita palsu ketika fasa akhir kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, dalam tempoh 48 jam yang berbaki untuk berkempen, wujud berita palsu yang sengaja direka oleh pelbagai pihak untuk menarik perhatian pengundi.

"Cabaran orang ramai adalah untuk tapis semua berita sedemikian (palsu) dan jangan mudah terpengaruh. Buat perbandingan dan tapisan, jangan terima sahaja apa yang datang saat akhir,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sekalung Budi MenKOMM di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai berita tular di media sosial berkaitan ramalan dan dapatan kajian badan bebas berhubung sentimen penerimaan pengundi terhadap Barisan Nasional (BN) yang mendakwa BN ketinggalan untuk memenangi kerusi Parlimen berbanding parti lawan.