Banjir: Sungai Kuak melimpah 79 penduduk berpindah ke PPS

Keadaan rumah penduduk selepas dilanda banjir pada Rabu. (Gambar kecil: Abdul Mukti Abdul Mutalib, Mohamad Amin)
Keadaan rumah penduduk selepas dilanda banjir pada Rabu. (Gambar kecil: Abdul Mukti Abdul Mutalib, Mohamad Amin)
A
A
A

GERIK - Seramai 79 penduduk daripada 19 keluarga di lima buah kampung di Pengkalan Hulu dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Masjid Jamek Kuak Luar di sini.

Antara kampung terbabit ialah Kampung Kuak Tengah, Kampung Padang Bongor, Taman Era Syed, Kampung Air Panas dan Kampung Raja Kayu.

Ketua UMNO Cawangan Kuak Luar, Abdul Mukti Abdul Mutalib menyifatkan banjir kali ini yang terburuk akibat limpahan air Sungai Kuak selepas hujan lebat petang Rabu.

Menurutnya, air dari bukit berdekatan mengalir dengan laju dan memasuki sungai menyebabkan air sungai melimpah secara mengejut.

"Keadaan itu menyebabkan penduduk tidak sempat menyelamatkan barangan di dalam rumah masing-masing.

"Air memasuki rumah sehingga paras pinggang iaitu 1.5 meter. Banyak barangan seperti perabot rosak ditenggelami air," katanya ketika ditemui pada Khamis.

Abdul Mukti berkata, mangsa banjir turut dibantu anggota daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan penduduk manakala tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Seorang penduduk Kampung Raja Kayu, Sharifah Che Yen, 50, berkata, mereka diarahkan berpindah selepas air memasuki dalam rumah sehingga satu meter.

Artikel Berkaitan:

"Saya sekeluarga tidak sempat memindahkan barang dalam rumah kerana air memasuki rumah dengan cepat," katanya.

Sementara itu, calon Perikatan Nasional (PN) DUN Pengkalan Hulu Mohamad Amin Roslan berkata, pihaknya menggerakkan 40 anggota Jabatan Amal dan Khidmat Malaysia untuk misi bantuan mangsa banjir penduduk yang terjejas.

"Ini merupakan banjir yang paling besar melanda kawasan ini berbanding kejadian sebelum ini apabila air hanya naik di paras betis tetapi kali ini lebih besar," jelasnya.