100 keluarga rayu kekal di Kampung Dato' Hajah Hasnah Ahmad

Sebahagian daripada 100 keluarga di Kampung Dato' Hajah Hasnah Ahmad, Johor Bahru memohon kerajaan menimbang untuk membenarkan mereka terus tinggal di kampung berkenaan.
Sebahagian daripada 100 keluarga di Kampung Dato' Hajah Hasnah Ahmad, Johor Bahru memohon kerajaan menimbang untuk membenarkan mereka terus tinggal di kampung berkenaan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kira-kira 100 keluarga di Kampung Dato' Hajah Hasnah Ahmad di sini buntu selepas diarahkan pejabat tanah untuk berpindah dan mengosongkan rumah masing-masing dalam masa terdekat bagi memberi laluan untuk projek pembangunan.

Seorang penduduk, Rahmad Dahman, 70, berkata, mereka menerima notis pada 15 Mac lalu dan mempunyai tempoh 60 hari bagi mengosongkan tanah kerajaan itu selain perlu membuka sendiri rumah dan bangunan tambahan yang sudah dibina.

Bapa kepada lapan anak itu berkata, penduduk berharap dapat kekal menetap di kampung tersebut yang sudah diterokai mereka sejak kira-kira lima dekad lalu yang dahulunya merupakan kawasan paya.

Rahmad
Rahmad



"Kampung ini mula diteroka dan diduduki pada 1970-an. Bagaimanapun hampir 10 tahun lalu kami ditawarkan untuk berpindah kerana tanah di kampung ini dikatakan akan diambil kerajaan untuk dimajukan.

"Penduduk yang sebelum ini diberikan surat menduduki sementara di kampung ini kemudian membuat permohonan untuk kekal di kampung ini pada 2015 kerana tidak mahu berpindah tetapi tidak pernah mendapat maklum balas sehingga kini," katanya ditemui di kampung itu pada Selasa.

Rumah yang dirobohkan pada petang Isnin semasa ketiadaan penghuninya.
Rumah yang dirobohkan pada petang Isnin semasa ketiadaan penghuninya.

Rahmad yang juga Imam Surau Darul Ibad di kampung itu berkata, sebelum 2015 terdapat kira-kira 200 keluarga di kampung itu sebelum pada tahun sama, 100 keluarga setuju dipindahkan ke Pangsapuri Desa Hajah Hasnah.

Katanya, kini kira-kira 100 lagi keluarga yang masih menetap di kampung itu berharap mereka diberi pampasan dan tempat tinggl lebih baik kerana Pangsapuri Desa Hajah Hasnah didakwa mempunyai banyak masalah.

Samsuri
Samsuri

Seorang lagi penduduk yang enggan berpindah, Samsuri Ahmad, 71, berkata, mereka yang sudah berpindah memaklumkan keadaan pangsapuri tersebut mengalami kerosakan antaranya tangki septik tidak berfungsi sehingga sisa kumbahan melimpah selain struktur bangunan retak.

"Kami bukan hendak melawan kerajaan, sekiranya benar tanah ini mahu diambil semula, kami akan akur cuma kami mahukan sedikit pembelaan dengan menawarkan penempatan yang selesa dan pampasan," ujar bapa kepada tujuh anak itu.

Menurut Samsuri, ketika ini beberapa rumah di kampung tersebut telah dirobohkan dan perkembangan itu merisaukan penduduk yang menghitung hari mengenang nasib mereka.

Norbaizura
Norbaizura

Norbaizura Tajuddin, 35, yang sudah sembilan tahun tinggal di kampung itu, mengakui terkejut apabila rumah jirannya dirobohkan pada petang Isnin semasa penghuninya tiada di rumah.

"Mereka memberikan notis pertama mengosongkan rumah dua bulan lalu dan notis terbaharu tiga hari lepas. Mereka sudah memotong meter air di rumah saya dan memaklumkan akan merobohkan rumah pada bila-bila masa.

"Saya merayu agar diberikan tempoh kerana perlu mencari rumah. Dalam keadaan sekarang sukar untuk mendapat rumah yang mampu disewa," kata suri rumah itu yang mempunyai tujuh anak.

Sementara itu, Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir ketika dihubungi memaklumkan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengambil berat akan kebajikan penduduk kampung itu.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, pihaknya juga akan meneliti rintihan penduduk mengenai keadaan Pangsapuri Hajah Hasnah yang dikatakan tidak mempunyai Sijil Perakuan Kelayakan (CF) yang sah untuk diduduki.

"Saya akan mengadakan sidang akhbar berhubung perkara ini sejurus ianya diperhalusi, esok atau dalam masa terdekat," katanya.