[VIDEO] Lelaki didenda RM4,500 khianat bendera parti

Tertuduh didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majisret di sini pada Khamis selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan khianat pada bendera parti.
Tertuduh didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majisret di sini pada Khamis selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan khianat pada bendera parti.
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Seorang pendawai didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majisret di sini pada Khamis selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan khianat pada bendera parti.

Tertuduh, Burhanuddin Hussain, 41, membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Zul Hilmi Latif.

Mengikut kertas pertuduhan, Burhanuddin didakwa melakukan khianat dengan mencantas lebih kurang 50 bendera parti hingga menyebabkan kerugian sebanyak RM1,600.

Kesalahan dilakukan antara jam 10 hingga 11.30 pagi pada 14 November lalu di tepi jalan Kampung Alor Parit, Jalan Bukit Raya di daerah Pendang.

Tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Asmaa' Zamri manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Sabirah Ramli.

Siti Sabirah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan memandangkan tertuduh seorang duda yang perlu menyara seorang anak berusia 17 tahun dan ibunya berusia 77 tahun, bagaimanapun Asmaa’ meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal memandangkan kes itu berkepentingan awam.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM4,500 ataupun denda selama 12 bulan sekiranya gagal bayar denda.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh bagaimanapun gagal membayar denda dan dihantar ke Penjara Pokok Sena.

Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai satu kejadian amuk oleh seorang lelaki dengan menggunakan sebilah parang di Jalan Kampung Alor Parit, Bukit Raya, Pendang lebih kurang jam 11.33 pagi pada Isnin lepas.

Beliau berkata, sepasukan polis bergerak ke lokasi kejadian dan berjaya menahan suspek yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun dan merampas sebilah parang daripada pegangan lelaki itu.

Tambah Wan Hassan, suspek juga telah didapati positif dadah jenis methamphetamine melalui ujian saringan awal air kencing.

"Sehubungan itu, siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5), Seksyen 427 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234).

"Jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun atau didenda tidak melebihi RM10,000.00 atau kedua duanya sekali," katanya.

Dalam perkembangan sama, Wan Wassan memberitahu, kejadian tersebut didapati telah ditularkan di dalam aplikasi TikTok yang memaparkan suspek telah merosakkan pancang-pancang bendera sebuah parti politik.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan, siasatan polis mendapati suspek tidak terlibat atau menyertai mana-mana parti politik.

"Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mencetuskan kegusaran, permusuhan atau menggugat ketenteraman awam," katanya.

Wan Hassan menegaskan, pihaknya akan sentiasa peka dan respons ke atas perlakuan-perlakuan jenayah sebegini terutamanya semasa tempoh berkempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Masyarakat juga diseru untuk sentiasa membantu pihak polis bagi memastikan keamanan dikekalkan khususnya di negeri Kedah dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan perbuatan jenayah melalui talian MERS 999 atau mana-mana balai polis berdekatan," katanya.